KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menitahkan agar kedudukan agama Islam tidak dipersoalkan dan diselewengkan untuk kepentingan mana-mana pihak sehingga boleh memesongkan akidah umat Islam.

Baginda turut bertitah agar rakyat membuang sifat-sifat yang membawa kepada perpecahan sebaliknya mencari titik persefahaman untuk memupuk dan mengeratkan perpaduan.

"Kerajaan beta komited untuk memartabatkan Islam berteraskan Maqasiah Syariah dan akan terus memelihara kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut memuji usaha Malaysia untuk mengeratkan hubungan baik dengan negara-negara lain di seluruh dunia.

"Beta berharap agar melalui konsep Gerakan Kesederhanaan Global, Malaysia terus memainkan peranan penting dalam mengeratkan kerjasama Asean serta membantu mewujudkan keamanan, kesejahteraan global terutamanya di rantau ini dan di dunia.

"Beta juga menghargai komitmen kerajaan dan rakyat yang sentiasa memberi bantuan kemanusiaan serta sokongan kepada rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali hak mereka sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat," titah baginda.

Baginda turut menyatakan penghargaan terhadap kesetiaan, dedikasi, keikhlasan dan sumbangan anggota perkhidmatan awam, Anggatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan semua pihak ke arah pembangunan serta kemakmuran negara.

Titah baginda lagi, ketenteraman awam dan keselamatan negara tetap menjadi keutamaan kerajaan.

"Kerajaan juga perlu terus berusaha memperbetulkan jurang antara persepsi dan hakikat tahap keselamatan negara.

"Di peringkat antarabangsa pula, kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi jenayah merentasi sempadan dengan meningkatkan kerjasama strategik dengan negara-negara lain," titah baginda.