Penunjuk perasaan mengadakan protes di luar Mahkamah Majistret di Baitulmaqdis sebagai menuntut pembebasan Issawi, kelmarin. Foto: EPA
RAMALLAH - Kira-kira 800 tahanan Palestin yang ditahan di tiga penjara Israel melancarkan mogok lapar untuk tempoh 24 jam, kelmarin sebagai tanda perpaduan dengan empat saudara mereka yang telah lama mengambil tindakan nekad itu sejak tujuh bulan lalu.
Menurut Kelab Tahanan Palestin berpusat di Ramallah mogok lapar tersebut turut disertai tahanan yang terdiri daripada ahli gerakan Hamas, Jihad Islam, Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin (PFLP) dan Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (DFLP) .
Dalam satu kenyataan, jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel (IPS), Sivan Weizman memaklumkan kira-kira 500 tahanan di penjara Ramon dan Eshel enggan makan kerana mahu menyatakan sokongan mereka terhadap empat tahanan, Samer Issawi, 33, Tareq Qaadan, 40, Jafar Ezzedine, 41, Ayman Sharawna, 36.
Isnin lalu, ribuan penduduk Palestin berarak di dua bandar utama di Tebing Barat bagi menuntut pembebasan keempat-empat tahanan tersebut selepas tahap kesihatan mereka didakwa berada pada tahap membimbangkan.
April lalu, mogok lapar besar-besaran kali kedua pernah dilancarkan oleh ribuan tahanan Palestin sebagai menuntut kebebasan dan menyatakan bantahan terhadap ketidakadilan rejim Zionis. - AFP




