AREQUIPA - PERU. 44 orang dilaporkan maut apabila sebuah bas dua tingkat terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 80 meter di tebing pesisir pantai Peru selepas tergelincir di kawasan selekoh maut.

Kemalangan berlaku di lebuhraya Pan-American kira-kira jam 1.30 pagi waktu tempatan.

Ketua Polis Arequipa, Jeneral Walter Ortiz, mengesahkan 44 maut, lapor menteri dalam negeri dalam akaun Twitternya, jumlah tersebut meningkat dari 35 mangsa yang dilaporkan sebelumnya.

Menurut Ortiz, 45 orang didaftarkan sebagai penumpang bas malang itu, namun kementerian berkata jumlah tersebut tidak sepadan dengan jumlah yang terkorban atau cedera.

Hal ini berikutan bas antara daerah di Peru sering mengambil dan menurunkan penumpang di sepanjang perjalanan, mengakibatkan percanggahan dalam jumlah penumpang.

Pihak berkuasa tidak menyatakan jumlah mereka yang cedera atau jika pemandu bas adalah salah seorang daripada mereka.

Pasukan penyelamat termasuk bomba dan polis bekerja keras merawat mangsa yang tercedera, tulis Gabenor Arequipa, Yamila Osorio di akaun Twitternya.

"Pihak berkuasa mengalihkan mayat dan pakar daripada jabatan penyiasat kemalangan polis trafik sedang menyiasat punca kejadian," kata Ketua Polis Trafik, Colonel Jorge Castillo.

Mereka yang cedera dibawa ke hospital di Camana.

Presiden Peru, Pedro Pablo Kuczynski merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa melalui Twitter.

"Kesemua prosedur telah diaktifkan bagi membantu operasi menyelamat dan pemindahan mangsa ke hospital," katanya.

Kejadian terbaharu ini merupakan kemalangan kedua terburuk di jalan raya Peru tahun ini. Pada 2 Januari lepas, sebuah bas terjunam ke dalam gaung, mengakibatkan 52 maut. - AFP