AVELLINO - ITALI. Sekurang-kurangnya 37 orang maut dan 11 lagi cedera apabila bas dinaiki terjunam ke dalam gaung di selatan Itali, kelmarin.

Menurut pegawai, nahas membabitkan bas yang membawa 49 penumpang itu berlaku selepas berlanggar dengan beberapa kereta dari arah bertentangan sebelum terjatuh sedalam 30 meter berdekatan bandar Avellino, wilayah Campania.

"Kebanyakan penumpang maut disebabkan tersepit akibat hentakan bas dan sebahagian lagi ditemui di bawah pengangkutan itu.

"Keadaan amat kritikal selain pasukan bomba dan penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang masih hidup di dalam bas berkenaan," katanya kepada AFP.

Pihak berkuasa bagaimanapun belum mengesahkan sama ada pemandu bas berkenaan antara yang terbunuh.

Setakat ini, 11 penumpang yang cedera dikejarkan ke hospital dan dua disahkan kritikal.