MOSCOW - Rusia, hari ini mengumumkan ia akan mengusir 23 diplomat Britain dan menghentikan segala aktiviti dengan British Council  yang mempromosikan hubungan kebudayaan antara kedua-dua negara itu sebagai respons terhadap langkah provokatif London susulan insiden bekas perisik Moscow dan anak perempuannya yang diracun pada 4 Mac lalu.

"Kesemua kakitangan diplomatik di Kedutaan Britain kini diisytiharkan sebagai persona non grata dan akan diusir dalam tempoh seminggu," menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan selepas London mengambil langkah sama awal minggu lalu.

Sementara itu, seorang diplomat kanan Rusia memberitahu negaranya tidak pernah menghasilkan agen saraf dengan kod nama Novichok dan turut mengesahkan Moscow telah menghapuskan kesemua senjata kimia milik mereka.

"Tidak ada program seperti itu di Rusia. Sejak 1992, Moscow sudah menghentikan kesemua aktiviti dalam bidang kimia ketenteraan. Kesemua senjata kimia telah dimusnahkan dan ia turut disahkan oleh Konvensyen Senjata Kimia," kata Duta Rusia ke Netherlands, Alexander Shulgin.

Wakil Moscow di Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) itu juga menegaskan beliau pertama kali mendengar perkataan Novichok  dikaitkan dengan agen kimia apabila ia disebut Perdana Menteri Britain, Theresa May dalam Parlimen. - Agensi