TURIN - ITALY. Dua penumpang terbunuh dan ramai lagi cedera selepas sebuah kereta api tergelincir di utara Itali berhampiran Turin, lapor media Itali.

Kejadian berlaku lewat semalam apabila tren itu merempuh sebuah trak besar yang berhenti di lintasan kereta api, menyebabkan tiga gerabak tergelincir dari landasan.

"Pada jam 11.20 malam (waktu tempatan) kereta api serantau 10027 Turin-Ivrea bertembung dengan sebuah kenderaan berat yang terhenti di lintasan kereta api selepas melanggar penghadang," kata Rete Ferroviaria Italiana (RFI), syarikat yang mengendalikan rangkaian kereta api Itali, dalam satu kenyataan.

Menurut laporan awal, pemandu kereta api turut terbunuh manakala ramai penumpang cedera.

Agensi berita AGI mengatakan mangsa kedua dibawa ke hospital berdekatan Turin menggunakan helikopter namun meninggal dunia tidak lama kemudian.

Seorang lagi penumpang wanita mengalami kecederaan serius di kepala namun berada dalam keadaan sedar.

Laporan akhbar La Stampa berkata, van yang berada di hadapannya selamat melalui lintasan berkenaan tetapi sebaik penghadang mula turun, trak besar yang didaftarkan di Lithuania itu gagal membrek dengan sempurna dan terhenti di atas landasan. - AFP