CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dan ribuan lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka apabila banjir lumpur dan tanah runtuh dilaporkan berlaku susulan hujan lebat luar biasa di Selatan California.

Tanah runtuh dilaporkan berlaku terutamanya di kawasan cerun di mana satu siri kebakaran hutan terjadi bulan lalu, memusnahkan kawasan tanaman yang dilindungi.

Hujan turun dengan lebat awal pagi Selasa selepas ribuan penduduk Santa Barbara County di kawasan pantai Los Angeles diarahkan berpindah.

Bagaimanapun, menurut jurucakap Jabatan Bomba Santa Barbara, Amber Anderson, hanya kira-kira 10 hingga 15 peratus yang mematuhi arahan mandatori itu.

"Petugas kecemasan menggunakan anjing dan helikopter untuk menyelamatkan mangsa yang terkandas di dalam runtuhan," katanya.

Susulan timbulnya ancaman tanah runtuh, pihak berkuasa daerah mengarahkan 7,000 penduduk di kawasan itu meninggalkan rumah mereka sebelum hujan turun dan meminta 23,000 yang lain berpindah secara sukarela.

Kebakaran hutan bulan lalu, yang terbesar dalam sejarah California, membuatkan kawasan itu terdedah kepada kejadian gelongsoran lumpur.