PESHAWAR - PAKISTAN. Sekurang-kurangnya 13 maut, termasuk seorang ahli politik apabila pengebom nekad meletupkan bom pada satu kempen pilihan raya di barat daya Pakistan, semalam.

Pengebom didakwa menyasarkan kempen pilihan raya Parti Kebangsaan Awami (ANP) berikutan kenyataan tegasnya terhadap kumpulan militan seperti Taliban.

Letupan berlaku beberapa jam selepas jurucakap tentera Pakistan mengumumkan wujudnya ancaman keselamatan menjelang pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 25 Julai ini.

"Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 13 mangsa, termasuk (Haroon) Bilour," kata ketua polis bandar Peshawar, Qazi Jameel.

Haroon Bilour adalah salah seorang calon pilihan raya mewakili ANP, berasal dari keluarga berpengaruh dalam politik di wilayah Khyber-Pakhtunkhwa.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan, menunjukkan insiden itu angkara pengebom nekad dan Haroon Bilour adalah sasaran serangan," kata pegawai polis, Shafqat Malik kepada AFP.

Pihak berkuasa turut berkata, seramai 54 lagi mangsa cedera.- AFP