CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 12 orang maut termasuk seorang pegawai polis, apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah bar di Thousand Oaks, California, semalam.

Insiden yang berlaku pada jam 11.20 malam waktu tempatan di Borderline Bar and Grill kira-kira 65 kilometer barat laut Los Angeles itu, turut mencederakan 11 yang lain.

Pihak berkuasa berkata, suspek dipercayai menembak dirinya sendiri sebelum ditemui mati di dalam bar tersebut.

Sekurang-kurangnya 200 orang, kebanyakannya pelajar kolej yang sedang menyambut malam muzik country berada di bar berkenaan ketika insiden berlaku.

"Apabila polis sampai, tembakan masih kedengaran," kata jurucakap pejabat Sherif Ventura County, Eric Buschow.

Sementara itu, pegawai polis yang maut dikenali sebagai Sarjan Ron Helus, mangsa dipercayai ditembak beberapa kali dan disahkan meninggal dunia di hospital.

Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti identiti suspek serta motif serangan. - BBC