HUKUM memakai pakaian yang mempunyai gambar seperti salib atau logo arak ketika solat. Jawapan: Bagi keadaan di atas ada dua hukum berkaitan dengannya: 1-Harus hukumnya bagi seseorang yang tidak mengetahui bahawa pakaian yang sedang dipakainya itu mempunyai simbol-simbol yang telah dikenali umum dan dipakai secara meluas seperti tanda campur (+), lambang pada kenderaan dan sebagainya.

Meskipun begitu jika ia mampu untuk menghilangkan simbol-simbol tersebut yang bentuknya sangat jelas, maka dia perlulah menghilangkannya. Apa yang pasti, ia terzahir bukan atas maksud mengagungkan lambang salib. Begitu juga dengan lambang arak yang wujud secara jelas pada pakaian seperti jersi pasukan bola sepak di Barat, ia harus jika tidak diketahui kewujudannya dan tanpa disengajakan.

al-Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid berkata, “Jika bentuk salib itu tidak jelas atau tidak nyata, ia terhasil dari ukiran hiasan secara tidak sengaja. Ataupun ia merupakan binaan yang mempunyai peranannya, merupakan simbol matematik seperti simbol tambah atau darab. Maka bentuk-bentuk sebegini tidak perlu dibuang dan dihilangkannya, maka tidak salah membuat bentuknya atau menjual untuk tujuan perniagaan, disebabkan tiadanya larangan dalam menyerupai kaum kuffar.

2- Namun jika ia secara jelas diketahui dan mempromosikan salib atau jenama arak tersebut, maka hukumnya adalah haram. Ini kerana seseorang Muslim itu dilarang membeli, membuat, mengukir mahupun membeli salib atas sifatnya sebagai salah satu syiar agama Kristian.

Ini ditegaskan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah:  “Tidak harus membuat tanda salib sama ada dengan upah ataupun tanpa upah, begitu juga menjualnya atas sifatnya sebagai salib (syiar agama Kristian) sebagaimana tidak harusnya membuat berhala dan menjualnya.”

Apabila objek ataupun lambang berkenaan digunakan atas maksud ianya adalah salib yang merupakan syiar Kristian maka jelaslah haram orang Islam menggunakannya kerana illah (sebab) pengharamannya disebabkan Muslim itu dilarang menyerupai dan mengagungkan syiar agama lain.

Bagi masalah solat dengan pakaian tersebut pula, mengikut jumhur ulama mereka menyatakan solat orang yang memakai pakaian tersebut adalah sah solatnya. Namun, sekiranya dia mempunyai pakaian lain tetapi tidak memakainya, maka perbuatan tersebut adalah berdosa (walaupun sah solatnya).

Secara umum, solat dengan pakaian yang bergambar dengan simbol agama lain dan sesuatu yang haram itu adalah perkara makruh yang perlu dijauhi.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Urwah dari ‘Aisyah bahawa Nabi SAW pernah solat di atas kain lapik (sejadah) yang bergambar. Lalu Baginda melihat ke arah gambar tersebut.

Selesai solat Baginda bersabda: “Pergilah dengan membawa kain ini kepada Abu Jahm dan gantilah dengan pakaian dari Abu Jahm. Sungguh kain ini telah mengganggu solatku.” Hisyam bin ‘Urwah berkata dari bapanya dari ‘Aisyah berkata, “Nabi SAW bersabda: “Aku melihat gambarnya dan aku bimbang gambar itu mengganggu solatku.” (al-Bukhari)

Imam al-Nawawi pula telah berkata di dalam kitab al-Majmuk: “(Hukum) memakai pakaian yang bergambar, ada lambang salib, atau sesuatu yang melalaikan (ketika solat), maka ia dimakruhkan dengan memakainya semasa solat berdasarkan hadis di atas.

Justeru itu, elakkan diri daripada memakai pakaian bergambar makhluk bernyawa, apatah lagi dengan lambang yang menyamai salib atau logo berjenama arak. Ia bukan sahaja menjadikan dirinya tidak khusyuk solat, malah ia mungkin membuatkan orang lain sama turut tidak khusyuk semasa solat. Wallahu a’lam

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BAGI menyempurnakan akhlak yang mulia, pegangan agama dapat mendidik dan memurnikan akhlak seseorang. Tanpa agama seseorang itu tidak mempunyai panduan hidup yang jelas dan lurus. Pendidikan hati dan jiwa dengan akhlak yang baik akan memandu kepada kesejahteraan hidup.
  • WAJAHNYA sedikit murung. Kelihatan ada air mata yang tertahan daripada mengalir keluar. Sesekali diseka hujung mata dengan tangan. Anak jantan, tak ingin dilihat larut dalam tangisan.
  • DALAM Surah Al-Israk ayat 78 ALLAH berfirman, “Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah solat Subuh). Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan.”
  • UNGKAPAN reda ALLAH SWT berada pada reda ibu bapa, syurga di bawah telapak kaki ibu, kasih ibu bawa ke syurga dan kasih bapa kekal selamanya menunjukkan betapa ibu bapa perlu diberi status kedudukan yang amat mulia.
  • Assalamualaikum ustaz, apakah yang perlu saya lakukan sekiranya berasa was-was ketika mendirikan solat. Contohnya, sangsi sudah tahiyat awal atau belum?