SABAR...mudah disebut tetapi memerlukan kekuatan jiwa untuk melakukannya. Sabar adalah sifat mahmudah yang mampu menahan diri daripada melakukan kejahatan. Lawan sabar adalah marah, mengeluh dan merungut.

Nabi Muhammad SAW terkenal dengan sifat sabar. Baginda SAW tidak berdendam mahupun membalas kecuali dengan kebaikan walaupun dirinya disakiti musuh ketika menyebarkan ajaran Islam.

Sesungguhnya orang yang bersabar dicintai ALLAH SWT sebagaimana disebut dalam Surah Ali-Imran ayat 146. Sabar adalah satu daripada pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Luqman ayat 17.

Penasihat Modul Rumah Ngaji, Mohd Yusof Arbain atau lebih dikenali PU Yusof berkata dalam ayat al-Quran tersebut, terdapat tiga pesan Luqman iaitu solat, amar maaruf nahi mungkar dan bersabar di atas apa yang menimpa diri kamu.

Sebelum ini, solat dan amar maaruf nahi mungkar telah dikupas dalam pengisian program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) dalam siri ke 5 dan 6. Rich anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas bersempena kempen My Family #QuranHour dan #Saving Families 1439H.

Rich ke 7, Yusof berkongsi ilmu bertajuk: Sabar wahai anakku dalam 9 Pesan Luqman di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, 19 November lalu.

Beliau berkata, hidup ini sebenarnya ujian daripada ALLAH. Oleh kita perlu ada sifat sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan tersebut. Soalnya, bagaimana untuk membina sabar? Yusof berkata pertama, kita perlu faham bahawa hidup ini adalah ujian, sebagaimana disebut dalam Surah Al-Ankabut ayat 1 hingga 3.

Tiga jenis sabar

ALLAH tidak membiarkan hamba-Nya hidup di bumi tanpa diuji keimanannya. Tujuan ujian  untuk membezakan antara siapa yang benar dan mendustakan, siapa yang taat dan tidak taat dengan perintah ALLAH.

Oleh itu, kata Yusof, dalam hidup kita perlu sabar dan syukur. Contohnya, apabila kita sihat, syukur dan jika sakit, sabar. Ini disebut dalam Surah Luqman ayat 13 dan 17.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sungguh menakjubkan perkara seorang Muslim, sesungguhnya seluruh perkaranya adalah baik. Dan hal ini tidak terjadi pada seseorang kecuali pada diri seorang Mukmin. Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Apabila ia mendapat kesusahan, dia bersabar dan itu pun baik baginya." (Riwayat Muslim)

Dalam Surah Al-Asr ayat 1 hingga 3, dinyatakan terdapat empat amalan yang membawa kejayaan hidup Muslim iaitu pertama, beriman; kedua, berbuat amal soleh; ketiga, berpesan-pesan kepada kebenaran; dan keempat berpesan kepada kesabaran.

 "Dalam hidup, kita perlu berpesan kepada orang lain termasuk ahli keluarga, saudara-mara, rakan taulan dan masyarakat perihal kebenaran dan kesabaran. Jika tiada pesanan kepada jalan yang benar dan kesabaran, ia termasuk dalam kumpulan yang rugi.

"Jika anda menghadapi suatu keadaan yang menyebabkan rasa putus asa, ingatlah hidup ini adalah ujian. ALLAH hendak menguji keimanan anda. Ini akan membina sifat sabar dalam diri. Terdapat tiga jenis sabar iaitu sabar dalam melakukan ketaatan, sabar terhadap musibah dan sabar terhadap maksiat." katanya.

Dalam Surah Taha ayat 132 turut menyatakan perintahkan keluarga untuk melaksanakan solat dan sabar dalam melakukan ketaatan. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa sabar dalam mendidik anak mentaati ALLAH sepanjang hayat.

"Untuk bersabar dalam menghadapi musibah, ingat slogan yang bermaksud Sesungguhnya kami milik ALLAH dan kepada-Nya akan kembali.

"Ini bermakna kita adalah milik ALLAH dan segala yang ada di dunia hanyalah pinjaman ALLAH. Nikmat dan musibah juga datang daripada ALLAH. Oleh itu kita perlu kembali kepada ALLAH dengan  mentaati-Nya.

"Semua nabi dan rasul tidak terlepas daripada ujian dan musibah. Contohnya, kisah Nabi Ayub AS, Nabi Yunus AS, Nabi Ibrahim AS, dan Nabi Yaakub AS. Terdapat tingkatan iman bagi Muslim, Mukmin, dan Muhsin," katanya.

Yusof memberitahu perbezaan reda dan sabar. Sabar itu wajib apabila menerima musibah dan kita meminta kepada ALLAH untuk menghilangkannya. Manakala orang yang reda itu ada kemanisan pada musibah yang menimpa dirinya.  Sepertimana firman ALLAH yang bermaksud: "Dan Kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah: 155)

Pahala tanpa batas

Ketiga, sabar hadapi maksiat. Contohnya, kisah Nabi Yusuf AS menghadapi ujian besar apabila beliau yang masih muda dan nafsu masih membara digoda oleh isteri majikannya. Namun atas sifat sabar dalam menghadapi ujian tersebut, Nabi Yusuf AS sanggup masuk penjara daripada melakukan perkara maksiat.

"Terdapat situasi sebelum, semasa dan selepas melakukan ketaatan seperti solat. Sebelum melakukan ketaatan, kita perlu sabar melawan hawa nafsu untuk mendirikan solat. Semasa solat, kita melakukannya dengan terbaik, sabar dan ikhlas. Selepas melakukan ketaatan, kita perlu ikhlas.

"Segala amal soleh akan jadi sia-sia jika kita tidak ikhlas dengan menghebahkan amal kebaikan kita kepada orang lain mahupun melalui media sosial. Biarlah hanya ALLAH yang mengetahui apa yang kita lakukan untuk menerima ganjaran-Nya di akhirat," kata Yusof.

Beliau menambah, apa pun keadaan dalam kehidupan, pertama kita perlu memuji ALLAH dengan ucapan Alhamdulillah. Kedua, mengembalikan peristiwa itu kepada ALLAH dengan menyebut innalillahiwainnailaihirojiun.

Apabila ditimpa musibah, mohonlah petunjuk kepada ALLAH untuk mendapat pahala dan digantikan dengan yang lebih baik.

Ketika melihat musibah berlaku kepada orang lain, katakan: "Segala pujian bagi ALLAH yang menyelamatkan daripada ujian itu." Jika takjub pada sesuatu, ucaplah Subhanallah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SESETENGAH orang berkata jika tangan kotor, boleh minum dengan pegang gelas tangan kiri dan ampu dengan tangan kanan. Bolehkah beri pencerahan apa hukumnya?
  • HUKUM memakai pakaian yang mempunyai gambar seperti salib atau logo arak ketika solat. Jawapan: Bagi keadaan di atas ada dua hukum berkaitan dengannya: 1-Harus hukumnya bagi seseorang yang tidak mengetahui bahawa pakaian yang sedang dipakainya itu mempunyai simbol-simbol yang telah dikenali umum dan dipakai secara meluas seperti tanda campur (+), lambang pada kenderaan dan sebagainya.
  • BERASA bangga atau mulia dengan Islam berkait rapat dengan iman. Kadangkala perasaan ini diistilahkan sebagai izzah. Individu yang berasa mulia (izzah) dengan Islam akan terarah hidupnya. Dia memastikan segala tindak tanduknya berdasarkan yang makruf, serta mengajak manusia kepada yang makruf. Pada masa yang sama dia menjauhi kemungkaran, serta mencegah manusia daripada kemungkaran itu.
  • APABILA sifat ujub atau bangga diri itu terbit dalam hati saat anda sedang beramal di hadapan khalayak, maka bersihkanlah ujub itu dengan beramal secara sembunyi-sembunyi. Agar amalan secara tersembunyi itu dapat menyucikan sifat ujub dalam hati."
  • FARIHAH Mohamed Arshad atau popular dengan nama Farra, pernah menghiasi dunia seni tanah air suatu ketika dahulu.