HARI kiamat pasti tiba, cuma kita tidak tahu bilakah tibanya hari pengadilan ini. Hanya ALLAH SWT yang tahu. Jika kita tidak ingin menyesal ketika pengadilan ALLAH  berada di depan mata, persiapkanlah diri sebelum terlambat. Bertaubatlah…

Dalam al-Quran, terdapat banyak perkataan digunakan bagi menggambarkan peristiwa besar kiamat. Antara seruan kiamat dalam al-Quran seperti yaum al-khuruj (hari keluar) dalam Surah Qaf ayat 42, yaum al-hisab (hari perhitungan) Surah Sad ayat 26, yaum al-akhir (hari akhir) Surah An- Nisaa ayat 136 dan banyak lagi.

Demikian nama kiamat yang digunakan dalam al-Quran. Kesemua nama menggambarkan perihal proses keseluruhan alam akhirat. Ia bermula dengan kehancuran dunia dan alam semesta. Kemudian, disusuli dengan kebangkitan semula, dihimpunkan di padang mahsyar, dipertontonkan azab dan nikmat, bermulanya hitungan hisab, timbangan amalan, mahkamah Ilahi, titian sirat dan penyudahnya ialah syurga atau neraka.

Kronologi alam akhirat

Secara umumnya, alam akhirat mempunyai 13 fasa yang panjang. Sebahagian makhluk diberi peluang untuk berasai 13 fasa ini sepenuhnya. Ada pula dalam kalangan mereka yang sempat melalui beberapa fasa, kemudian terus melangkau menuju ke syurga mahupun neraka.

FASA PERTAMA: Alam barzakh

Alam barzakh, tempat persinggahan pertama bagi si mati sebelum kiamat. Tempat tersebut berada di tengah-tengah alam dunia dengan alam akhirat. Di alam barzakh, ulama sepakat mengenai kewujudan azab dan nikmat kubur. Dalam alam barzakh juga, segala nikmat mahupun azab dirasai secara hakiki dan bukan sekadar bayangan mahupun perasaan.

Di alam kubur, pertanyaan munkar dan nakir berlaku terhadap roh dan jasad. Ketika itu, jawapan yang diperoleh adalah hasil daripada amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia. Jika amalan kebaikan yang dibawa, pasti seorang itu mampu menjawab semua soalan dengan mudah. Lantas kuburnya bercahaya dan diluaskan sehingga 70 hasta. Seterusnya, dia diberi tidur yang nyenyak dengan kenikmatan sehingga hari kiamat.

Sementara bagi mereka yang ingkar dan derhaka, kegagalan menjawab soalan di dalam kubur bakal menyaksikan mereka terus diazab.

FASA KEDUA: Sangkakala kehancuran

Apabila tibanya saat kehancuran dunia dan alam semesta, Malaikat Israfil akan diarahkan ALLAH supaya meniupkan sangkakala. Tiupan pertama akan menyebabkan berlakunya kehancuran seluruh alam semesta sekali gus mematikan semua makhluk yang bernyawa.

Tiupan kehancuran ini menggegarkan seluruh alam semesta sehingga dunia dan cakerawala bertembung antara satu sama lain. Ketika itu gunung menjadi rata, serangan ombak tsunami menggila, bintang-bintang bertaburan, matahari akan digulung serta semua makhluk berterbangan. Setelah itu, bermulalah alam baru yang dinamakan alam akhirat yang kekal abadi.

FASA KETIGA: Sangkakala kebangkitan

Setelah beberapa lama alam semesta dilenyapkan, ALLAH menciptakan semula alam yang baru. Di sana, manusia akan dibangkitkan dan dikumpulkan semula untuk menerima pembalasan atas segala amalan.

Sesudah wujudnya alam akhirat, Malaikat Israfil dihidupkan semula untuk menyempurnakan tiupan sangkakala kebangkitan. Setelah sangkakala kedua ditiup, seluruh umat dibangkitkan dalam keadaan telanjang tanpa berpakaian kecuali mereka yang mendapat kemuliaan daripada-Nya pada hari tersebut.

FASA KEEMPAT: Padang Mahsyar

Setelah semua makhluk dibangkitkan, mereka akan diarah bergerak menuju ke satu tempat persinggahan untuk diadili. Tempat tersebut mempunyai permukaan pasir rata yang dinamakan sebagai padang mahsyar.  

Semua makhluk akan berada di padang mahsyar dalam satu tempoh yang lama. Selain itu, pelbagai dugaan dan rintangan mula dirasai. Antara dugaan yang dahsyat ketika itu ialah terbitnya matahari yang teramat terik sehingga dirasakan seolah-olah berada sejengkal di atas kepala. Namun, beruntunglah tujuh golongan yang mendapat perlindungan ALLAH pada ketika itu.

      

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SETELAH tidak mampu mencapai kata sepakat, maka perceraian dipilih sebagai jalan terbaik. Maka bermulalah perebutan, apabila bapa ataupun ibu memfailkan tuntutan hak penjagaan anak mereka ke mahkamah syariah, jelas Peguam Syarie dari Tetuan Khairul Sofian Anuar & Co, Fazru Anuar Yusof.
  • HADANAH atau dalam bahasa mudah fahamnya ialah hak penjagaan anak. Hadanah berlaku apabila sepasang suami isteri berpisah dan hak penjagaan anak jatuh ke tangan siapa? Sama ada ibu atau ayah? Atau anak-anaknya bakal dijaga orang lain?
  • BERMULA Muharam 1439H, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) menganjurkan program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) 10 siri bertajuk 9 Rahsia Luqman sempena kempen My Family#QuranHour bermula 8 Oktober lalu.
  • FIRMAN ALLAH SWT dalam Surah An-Nisaa': 1 “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang mengembangbiakkan daripada kedua-duanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada ALLAH yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya ALLAH sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”
  • AL-QURAN, eksklusif untuk orang Islam? Tentulah tidak. Namun sejauh manakah al-Quran boleh disebarluaskan oleh orang Islam? Mahukah orang bukan Islam menerima al-Quran untuk dibaca dan difahami isi kandungannya?
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.