"DULU dua beradik ini hidup senang kerana ibu bapa mereka ahli perniagaan berjaya di Johor Bahru, malah si abang pernah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar raya itu. Bagaimanapun, akibat perangkap dadah, mereka kini hidup merempat di ibu kota. Sebelum dibuang keluarga, dua beradik ini pernah dipukul, dikurung serta dibelasah ahli keluarga kerana dianggap memalukan mereka."

Pedih jiwa saya membaca berita yang satu ini. Sebelum ini saya pernah mendengar khabar sedih daripada perbualan bersama sahabat seusrah yang berpeluang membawa beberapa pelajar universiti melakukan bual selidik mengenai bidang tugas beberapa pegawai agama di salah sebuah negeri di selatan tanah air. Menerusi pegawai-pegawai agama ini mereka mendengar kisah 'anak terbuang' yang agak memeranjatkan ini.

Akan tetapi paparan berita yang saya baca hari ini menambah kepedihan sedia ada. Anak-anak yang terlibat dengan gejala dadah, pergaulan bebas dan seumpamanya, terabai dan dibiarkan. Sehinggakan kepulangan mereka ini sudah tidak lagi dinanti. Sudah jauh anak-anak ini tersesat jalan, ibu bapa pula berputus asa untuk menyelamatkan dan menarik mereka kembali ke pangkuan keluarga.  

Kenangan 10 tahun dulu kembali mengetuk jiwa. Sebagai seorang ibu, ada bisikan keinsafan yang menyedarkan jiwa setiap kali kenangan itu bertandang. Kali ini, kisah dua pemuda malang di atas bagai 'memanggil' kenangan itu untuk kembali. Mata saya basah.

Gelap

Ruang yang tadi terang benderang, tiba-tiba menjadi gelap. Hasrat untuk membaca sebelum melelapkan mata 'terpadam' dek kegelapan malam. Saya bingkas bangun dari katil bergerak menuju ke pintu. Tujuan di hati ingin meninjau ke bilik anak-anak.

"Tentu mereka sedang tidur lena..." Saya berbisik sambil tangan meraba tombol.

"Ummi, kak long dan kak ngah tak boleh tidur. Ada nyamuk, panas pula tu."

Belum sempat pintu bilik dibuka, anak-anak lebih dulu menyua muka. Terpisat-pisat mengesat mata. Dalam kesuraman cahaya bulan purnama yang masuk menembusi tingkap bilik, saya mendorong mereka ke katil. Berkebetulan ketika ini, suami tiada di rumah kerana berprogram di luar kawasan.

"Kak long dan kak ngah tidur dengan Ummi ye." Kerana mata yang mengantuk, mereka menurut sahaja tanpa banyak bicara. Saya ambil majalah yang mahu dibaca tadi lalu dijadikan pengipas untuk menyejukkan.

"Kak long dan kak ngah tidur ye, ummi tolong kipaskan. Nanti sejuk sikit..." kata saya. Sambil mengipas, saya membuka mata luas, kalau-kalau ada nyamuk yang datang hinggap di tubuh anak-anak.

Kasihan mereka. Terpaksa melelapkan mata dalam keadaan tidak selesa.

Entah mengapa sambil mengipas dan menampar nyamuk yang hinggap seekor dua, fikiran melayang mengenang keadaan di akhirat sana. Persoalan demi persoalan menerjah kolam rasa. Di sini, saya jadi 'penyelamat' anak-anak daripada situasi tidak menyenangkan. Mereka juga masih mampu mencari ummi mereka ini untuk mengadu.

Namun, bagaimana di akhirat nanti ?  Mampukah saya menjadi penyelamat mereka dari terjunam ke lembah neraka? Atau, adakah anak-anak ini mencari ummi mereka sekadar untuk menagih janji?

"Dulu di dunia, ummi kata ummi sayang kami. Sekarang ini kami minta bukti!" Mungkinkah  begitu jeritan mereka. Sedang di depan kami titian sirat menanti, sementara di bawahnya pula jurang neraka menjulang api.

"Kami tak bersalah, ummi kami yang menjadikan kami tidak solehah. Salah kami tidak ditegur, silap kami tidak diperbetul. Lantas, kami terus dengan keghairahan diri sendiri. Pergaulan kami tidak ikut syariat. Ummi kata, tak mengapa kerana kami masih belum dewasa. Solat kami culas. Ummi kata tak mengapa. Dah baligh kelak, baru Ummi galak."

Suara anak-anak kian deras menghambur cela dan amarah.

"Namun belum sempat ummi menegah, ummi lebih dulu meninggalkan alam ini. Kami dah biasa begini, terus memanjat usia dewasa tanpa panduan Ilahi. Mari ummi, terjun bersama kami, selayaknya kita di sini," kata mereka lagi, lantas pantas mencapai tangan saya ke tepian api.

Mimpi

Astaghfirullah! Saya terjaga daripada lena. Tertidur rupanya. Saya menoleh ke sisi, anak-anak masih dibuai mimpi. Bilik yang tadi suram, telah kembali terang. Terngiang-ngiang lagi 'jeritan' anak-anak dalam mimpi tadi. Perlahan-lahan saya bangun. Sementelah, belum masuk Subuh, saya bermunajat kepada Ilahi, memohon kekuatan dan petunjuk. Jangan mimpi jadi realiti!

"Ya ALLAH, dalam hening malam aku sujud pada-Mu. Ku mohon jangan pernah berpaling daripadaku. Aku tak punya siapa-siapa untuk menolong. Aku menagih rahmat kasih sayang Mu, Ya ALLAH. Bantulah aku, dalam mendidik anak-anakku. Kurniakan aku kekuatan menegur dan membetulkan salah silap mereka. Dengan baki usia yang masih bersisa ini, ya ALLAH. Aku akan bersama suami menunjukkan jalan yang benar kepada mereka. Pandulah kami, bimbinglah kami. Kami ingin mati dalam reda-Mu. Kami ingin menuju akhirat-Mu tanpa beban yang masih berbaki.

Alam kini penuh fitnah, dinding kami daripada fasad dan jahat dunia. Kami tak daya menolak tanpa bimbingan dan hidayah-Mu. Kurniakan kami anak-anak yang soleh dan solehah agar di sana kelak kami tidak saling menyalak.

"Kami akan mendidik mereka berlandas syariat, al-Quran dan Sunnah sebagai pengikat. Ya ALLAH, hadiahkan kami reda-Mu, izinkan kami bernaung di bawah cinta-Mu, walau kami sedar kami banyak dosa tapi kami tak akan pernah berputus asa."

Saya mengaminkan doa 10 tahun lalu setiap kali kenangan itu kembali. Sebagai seorang ibu, saya berpandangan, walau apa pun silap anak-anak, ibu bapalah individu pertama yang harus mengambil tanggungjawab menjalankan usaha dan ikhtiar mengembalikan mereka ke pangkal jalan. Mahu atau tidak, ibu bapa harus akur dengan peringatan daripada Baginda SAW ini.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: "Rasulullah bersabda: "Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, seorang Nasrani mahupun Majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu berasakan terdapat yang terpotong hidungnya?" (Riwayat  Muslim)

Andai Rasulullah SAW  sedari awal lagi sudah memperingatkan perihal peranan utama ibu bapa ini, lalu jika kehidupan anak-anak berakhir dalam kemaksiatan kepada Tuhan, maka ibu bapa tidak selayaknya duduk bersenang lenang menghabiskan sisa kehidupan di dunia kerana persoalan yang amat berat akan dibebankan ke pundak mereka di pengadilan akhirat.

"Sudahkah sebagai ibu bapa, mereka berusaha sehabis daya?"

Bukankah utusan ALLAH, Nuh dan Lut juga masih berusaha menyelamatkan anak dan isteri yang dikasihi agar beriman kepada Ilahi? Bukankah Rasulullah SAW menunjukkan teladan agar jangan berputus asa demi yang tersayang? Baginda SAW berusaha memujuk bapa saudaranya agar beriman kepada ALLAH hingga ke saat akhir hayat Abdul Mutalib. Namun, setelah ajakan tidak diendahkan, seruan kepada keimanan tidak kesampaian, walau hati pedih melepaskan, akhirnya setiap utusan Ilahi ini akur, hidayah itu adalah sesuatu yang pasti, milik mutlak Yang Maha Esa.  

Akan tetapi setelah mereka berusaha sehabis daya! Justeru, jika kita selaku ibu bapa, kita tidak menginginkan kesudahan yang sebegitu rupa dalam hidup anak-anak, temuilah mereka dan pimpin tangan mereka menuju Tuhan.

Dan buat akhirnya, sebagai renungan khusus buat wanita bergelar ibu: "Kita sekian lama berbangga kerana syurga di bawah telapak kaki kita, namun sepatutnya kita lebih dulu insaf, kerana syurga atau neraka seorang anak, kitalah pencorak pertamanya.  Muhasabahlah."

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENSYARAH Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ini berhasrat menyeru lebih ramai golongan profesional berlatar belakangkan pendidikan agama yang tinggi untuk sama-sama berpadu dan berusaha dalam menyebarkan dakwah.
  • ALLAH SWT berfirman: "Ya Siin. Demi al-Quran yang penuh hikmah. Sesungguhnya kamu benar-benar termasuk yang diutuskan (para rasul). Di atas jalan (para nabi) (tauhid dan petunjuk) yang lurus. Diturunkan (oleh) Yang Maha Perkasa Maha Penyayang…" (Surah Yasin: 1 - 5)
  • ALLAH SWT menyatakan dalam Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.”
  • TITISKANLAH air mata di dunia ini, untuk memadam kepanasan api neraka di akhirat. Sebagaimana kata ulama, kedudukan manusia itu adalah berdasarkan amalan dan bagaimana kita menitiskan air mata.
  • SESETENGAH orang berkata jika tangan kotor, boleh minum dengan pegang gelas tangan kiri dan ampu dengan tangan kanan. Bolehkah beri pencerahan apa hukumnya?