ADA sesetengah stesen radio kerap memutarkan lagu penyanyi luar negara yang berunsur lucah. Apakah hukumnya mendengar lagu berlirik lucah?  

J: MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 membincangkan mengenai hukum nasyid dan pancaragam. Muzakarah memutuskan:-

-Nyanyian yang seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadab dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.

-Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadab, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram.

-Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram. Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat; seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadab, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.

-Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Kesimpulan: Jika contoh lagu yang dinyatakan dalam soalan itu bertentangan dengan kaedah di atas, hendaklah ditinggalkan dan dihentikan penyiarannya.

Kami melihat, penyiaran lagu yang berunsur seks dan lucah di radio adalah tidak wajar khususnya kepada generasi muda yang mudah terpengaruh dengan budaya tidak bermoral, hedonisme dan melalaikan diri daripada matlamat sebenar hidup ini adalah untuk mencari keredaan ALLAH.

Kami akui sukar membendung aktiviti yang tidak menepati syariat tetapi diamalkan atau dibudayakan dalam komuniti selain Muslim atas kekangan undang-undang dan sebagainya. Mungkin cadangan ini boleh diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menilai semula isu penyiaran lagu berunsur seks dan lucah di radio-radio tempatan dengan lebih profesional. Juruhebah radio juga dinasihati menapis lagu-lagu yang diputarkan agar bersesuaian dengan nilai-nilai kesopanan dan tidak hanya mengejar kemasyhuran semata-mata.

Kami menyeru masyarakat Islam khususnya remaja, agar menapis lagu yang didengar.  Tanggungjawab ibu bapa, guru-guru dan kaum kerabat adalah untuk mendidik generasi kita mengenai adab dalam hiburan dan mendengar lagu.  Insafilah diri apabila lagu-lagu yang melalaikan ini boleh menyebabkan kita tidak  membaca dan mendengar al-Quran, kuliah dan  dan lain-lain perkara bermanfaat.

*SUMBER: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah

SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SABAR...mudah disebut tetapi memerlukan kekuatan jiwa untuk melakukannya. Sabar adalah sifat mahmudah yang mampu menahan diri daripada melakukan kejahatan. Lawan sabar adalah marah, mengeluh dan merungut.
  • "DULU dua beradik ini hidup senang kerana ibu bapa mereka ahli perniagaan berjaya di Johor Bahru, malah si abang pernah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar raya itu.
  • PENGAMBILAN anak angkat sudah menjadi satu trend di Malaysia. Sama ada dalam kalangan pasangan yang sudah lama berkahwin, mahupun bujang.
  • SATU perkara yang harus difahami adalah, keikhlasan bermula daripada keimanan dan ketaatan kepada ALLAH SWT.
  • Mati lemas ketika dihanyutkan bah, adakah boleh dikategorikan syahid atau sebaliknya?