PENGAMBILAN anak angkat sudah menjadi satu trend di Malaysia. Sama ada dalam kalangan pasangan yang sudah lama berkahwin, mahupun bujang.

Keadaan ini memperlihatkan suatu yang positif kerana kesediaan seseorang itu mengambil dan memelihara anak angkat seperti darah daging sendiri. Akan tetapi, ramai memandang remeh perihal isu pergaulan antara keluarga dan anak angkat, sehingga ia mengundang dosa yang berterusan.

Biarpun anak itu dibesarkan sejak kecil, namun status anak angkat masih tidak dapat menghalalkan sebarang persentuhan dan batasan aurat. Apatah lagi pergaulan tanpa batasan antara keluarga dan anak angkat yang terjalin sejak sekian lama.

Menjelaskan dengan lanjut isu anak angkat minggu ini, Sisipan Fikry mendapatkan pandangan daripada pendakwah, Ustaz MK Azman Daud.  

Islam galakkan ambil anak angkat

Harus peka dengan garis panduan ditetapkan syarak

USTAZ MK Azman berkata, Islam menggalakkan pengambilan anak angkat kerana, ia dapat memberi ruang kepada anak angkat dipelihara dengan baik, kasih sayang dan mendapat didikan yang lebih sempurna.

"Tujuan Islam membenarkan pengambilan anak angkat adalah bagi menceriakan suasana rumah tangga dan memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak, sama ada keluarga angkat mahupun anak angkat."

Beza anak angkat, susuan

Mengulas mengenai persoalan apakah perbezaan anak angkat dengan anak susuan, beliau menjelaskan anak angkat ialah mengambil anak orang lain untuk dipelihara, dibesarkan, diberi didikan seperti anak sendiri namun anak angkat tersebut terikat kepada beberapa hukum seperti batas aurat dan dia tidak berhak mewarisi harta daripada ibu bapa dan keluarga angkatnya. Anak angkat adalah bukan mahram dan dia boleh berkahwin dengan adik beradik keluarga angkatnya.

"Sedangkan anak susuan ialah anak orang lain yang diambil dengan tujuan untuk menyusukannya, Jika ia menepati syarat-syarat penyusuan sempurna seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, maka dia telah dikira sebagai anak susuan. Batas aurat anak susuan dengan ibu bapa susuannya sama seperti anak-anak ibu susuan yang lain. Anak susuan diharamkan nikah dengan adik-beradik susuan dan bapanya (suami kepada ibu susuan).

"Anak angkat boleh disusukan. Terdapat dua syarat utama yang menyebabkan penyusuan dianggap sempurna dan menjadikan hukum anak angkat seperti anak sendiri:-

1) Penyusuan berlaku sebelum bayi berumur dua tahun.

2) Bayi mestilah menyusu paling kurang sebanyak lima kali kenyang.

Penyusuan yang mengenyangkan dikira apabila bayi mula menyusu dan berhenti dengan sendiri apabila dia kenyang. Sekiranya berhenti disebabkan bersin, terbatuk atau sendawa, kemudian menyambung semula penyusuannya, ia masih dikira sekali," jelas anak kelahiran Kedah ini lagi.

Identiti anak

Beliau berkata, pasangan yang mengambil anak angkat perlu berterus terang perihal identiti diri si anak angkat.

"Sebaik-baiknya ibu bapa angkat harus berterus-terang, supaya tidak timbul masalah pada masa akan datang terutamanya dari segi batas aurat, perwalian nikah dan pewarisan harta. Cuma ibu bapa perlu menentukan masa yang sesuai dan tahap kematangan anak angkatnya untuk maklumkan perkara tersebut.

"Harus diingatkan, ketika memaklumkan perkara tersebut, ibu bapa perlu menyembunyikan sebarang aib yang boleh menggores perasaan anak. Contohnya, maklumkan anak angkat itu diambil dari tempat pembuangan sampah dan sebagainya.

"Batas aurat anak angkat juga adalah sama dengan orang luar.  Ahli keluarga angkat perlu memelihara batas aurat antara satu sama lain, haram bersalaman dan berdua-duaan dengan ahli keluarga angkat yang berlainan jantina,"ujarnya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BAGI menyempurnakan akhlak yang mulia, pegangan agama dapat mendidik dan memurnikan akhlak seseorang. Tanpa agama seseorang itu tidak mempunyai panduan hidup yang jelas dan lurus. Pendidikan hati dan jiwa dengan akhlak yang baik akan memandu kepada kesejahteraan hidup.
  • WAJAHNYA sedikit murung. Kelihatan ada air mata yang tertahan daripada mengalir keluar. Sesekali diseka hujung mata dengan tangan. Anak jantan, tak ingin dilihat larut dalam tangisan.
  • DALAM Surah Al-Israk ayat 78 ALLAH berfirman, “Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah solat Subuh). Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan.”
  • UNGKAPAN reda ALLAH SWT berada pada reda ibu bapa, syurga di bawah telapak kaki ibu, kasih ibu bawa ke syurga dan kasih bapa kekal selamanya menunjukkan betapa ibu bapa perlu diberi status kedudukan yang amat mulia.
  • Assalamualaikum ustaz, apakah yang perlu saya lakukan sekiranya berasa was-was ketika mendirikan solat. Contohnya, sangsi sudah tahiyat awal atau belum?