"PERLUKAH aku tolong dia. Itu bukan masalah aku?" Mungkin kata-kata ini pernah terdetik di hati kita apabila berhadapan dengan orang yang susah, kesempitan kewangan, kehilangan orang tersayang atau jatuh sakit.

Hidup umpama roda yang ada turun naik. Apabila terkena batang hidung sendiri, mungkin ada yang mengatakan "mengapakah tiada orang yang baik hati untuk tolong?" "Mengapa ALLAH SWT memberi ujian sebegini?"

Sesungguhnya ALLAH Maha Pengasih dan Maha Penyayang. ALLAH menurunkan al-Quran sebagai rahmat dan panduan dalam kehidupan manusia. Untuk mendapat rahmat ALLAH, manusia perlu kembali kepada al-Quran dengan membaca, memahami dan mengamalkannya.

 Nabi Muhammad SAW diutus ALLAH untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam. Akhlak mulia Baginda SAW adalah cerminan al-Quran dan menjadi rahmat kepada seluruh alam. Ini disebut dalam Surah Al-Anbiya' ayat 107.

Dalil al-Quran sebagai petunjuk dan rahmat kepada hamba ALLAH dikongsi Penasihat Modul Rumah Ngaji, Fazrul Ismail dalam sesi tadabbur dan tazakkur sempena program Damansara Damai Quran Hour 'Garden of Compassion' di iPlay Park, Damansara Damai pada 11 Mac lalu.

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Alif Lam Mim (1). Itulah Kitab (al-Quran) tidak (ada) keraguan di dalamnya (sebagai) petunjuk bagi mereka yang bertakwa (2). (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka (3), dan mereka yang beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka yakin akan adanya akhirat (4). Merekalah yang mendapat petunjuk daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung (5)." (Surah Al-Baqarah: 1-5)

Dusta agama

Menurut Fazrul, merujuk kepada ayat pertama Alif Lam Mim menunjukkan hanya Tuhan yang Maha Mengetahui bagaimana menjadi orang yang berjaya, yang kita tidak mengetahui. Ayat kedua menerangkan kita belajar al-Quran yakni panduan manual daripada ALLAH tanpa keraguan.

"Ayat ketiga bermaksud orang yang mengambil panduan daripada ALLAH adalah mereka yang sentiasa percaya perkara ghaib, sentiasa berhubung dengan ALLAH dengan menunaikan solat dan sentiasa berinfaq (memberi). Inilah menyebabkan mereka berkasih sayang kepada seluruh manusia.

"Manakala orang yang sentiasa berusaha untuk berjaya, mempunyai ciri percaya kepada kitab yang diturunkan kepada orang terdahulu dan sekarang. Ayat kelima menyatakan orang yang mendapat petunjuk daripada Tuhan, merekalah orang yang berjaya," katanya.

Fazrul yang juga Pengarah Urusan Akademi Sinergi Ikhlas menyentuh Surah Al-Ma'un yang membawa mesej kepada seluruh manusia tanpa mengira kaum dan agama. Surah tersebut menegaskan Islam sebagai agama rahmatan lil alamin untuk kita berkongsi kasih sayang dan membantu mereka yang memerlukan.  

ALLAH berfirman: "Tahukah kamu akan orang yang mendustakan agama? Mereka itulah orang yang mengherdik anak yatim. Dan tidak membantu untuk memberi makan kepada orang miskin. Maka celakalah orang itu sekalipun menunaikan solatnya, orang-orang yang lalai solatnya, yang berbuat riak dan enggan (memberikan) bantuan." (Surah Al-Ma'un: 1-7)

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, ALLAH menyampaikan mesej kasih sayang dan kita perlu perjuangkannya dengan melaksanakan aktiviti seperti menyayangi anak yatim, memberi makan kepada orang miskin.

"Surah Al-Ma'un diturunkan di Makkah. Ketika itu, Nabi Muhammad SAW berada dalam keadaan tertekan. Ayat tersebut menjadi penguat semangat kepada Baginda SAW dalam hubungan sesama manusia.

"Orang yang mendustakan agama adalah mereka yang melakukan kezaliman dan penindasan terhadap anak yatim seperti mengambil harta, memukul dan mengherdik. Perjuangan kita membantu anak yatim tanpa mengira kaum dan agama. Itu tanda kasih sayang," ulasnya lanjut.

Fazrul menambah lagi, orang yang tidak membantu dengan memberi makanan kepada orang miskin adalah termasuk golongan mendustakan agama.  Ini kerana mereka mengambil hak orang miskin dan menjadikan ia sebahagiannya. Untuk mendapat kasih sayang ALLAH, perbanyakan sedekah dan beri makan.

Kongsi kasih sayang

Merujuk kepada ayat 4 hingga 7 daripada Surah Al-Ma'un, orang yang mendustakan agama adalah dalam kalangan mereka yang bersolat tapi lalai. Mereka berbuat kebaikan untuk menunjuk-nunjuk dan mendapatkan reputasi baik di mata masyarakat.

Di sebalik itu, kata Fazrul, mereka tidak kisah pun jika ada jiran yang susah hingga kelaparan. Jika ada orang datang meminta bantuan, dia menolak. Inilah antara golongan yang mendustakan agama. Buat kebaikan untuk kepentingan diri, bukannya kerana kasih sayang.

Sebagai tindakan kita terhadap ayat ini, berdoa agar kita diberi kekuatan untuk mengamalkan agama yang paling sejahtera ini, di bawah lembayung Ar-Rahman dan Ar-Rahim, yang penuh dengan kasih sayang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • FIRMAN ALLAH SWT: "Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan kedua ibu bapa dan kerabatnya, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan kedua ibu bapa dan kerabatnya, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; Iaitu bahagian yang telah diwajibkan (ditentukan oleh ALLAH). "Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” (Surah An-Nisaa’: 7 & 8)
  • NABI Muhammad SAW pada 10 terakhir Ramadan ini meningkatkan amalan ibadah Baginda SAW dan berusaha untuk meraihnya. Baginda SAW bersabda: "Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharap balasan (daripada ALLAH), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Bukhari no1768, An-Nasa'ie no 2164 & Ahmad no 8222)
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.