INFLUENZA boleh mendatangkan kesan perubatan yang memudaratkan, terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi, lantas meningkatkan kadar penyakit dan kematian.

Golongan yang paling terkesan ialah kanak-kanak di bawah usia lima tahun, wanita hamil, warga tua berusia lebih 65 tahun, dan penghidap penyakit pernafasan seperti asma serta penyakit obstruktif pulmonari kronik (COPD). Penyakit kronik seperti diabetes dan sakit jantung juga berisiko termasuk jemaah haji dan umrah.

Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan influenza, satu sesi dialog media telah diadakan untuk membincangkan kelaziman penyakit ini di negara ini, pengaruh influenza terhadap kumpulan berisiko tinggi dan peranan pencegahan melalui vaksinasi.

Sesi tersebut dianjurkan oleh Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) dengan sokongan Sanofi Pasteur.

Ahli panel terdiri daripada Presiden MSIDC dan Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal & Profesor Mikrobiologi Perubatan, Profesor Dr Zamberi Sekawi; Pakar Runding Pediatrik dan Neonatalogi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin; Pakar Perunding Geriatrik, Profesor Dr Tan Maw Pin; dan Pakar Perunding Kanan Perubatan Pernafasan, Profesor Madya Dr Pang Yong Kek.

Dalam perbincangan panel, Profesor Dr Zamberi berkata, penyakit ini lazimnya tidak dipandang serius oleh rakyat Malaysia, khususnya kumpulan berisiko tinggi.

"Namun influenza boleh dan telah menyebabkan wabak serta pandemik pada masa lalu. Hari ini, lebih ramai orang melancong atau bercuti, sama ada untuk perniagaan, riadah atau menunaikan ibadah. Justeru, kita perlu melindungi diri dengan mendapatkan vaksin terhadap flu sekurang-kurangnya dua minggu sebelum memulakan perjalanan," katanya.

Sementara itu, Dr Musa menekankan, tanggungjawab ibu bapa amat penting untuk melindungi keluarga masing-masing.

“Kanak-kanak dan juga wanita hamil secara khususnya terdedah kepada virus influenza, dan kerumitan yang timbul mungkin mengancam nyawa. Malah dalam keadaan paling teruk, jangkitan boleh menular dan menyebabkan kematian. Terdapat juga kemungkinan besar penyakit merebak daripada kanak-kanak kepada ahli keluarga lain," jelasnya.

Profesor Dr Tan pula menerangkan tahap risiko lebih tinggi yang dihadapi oleh warga tua, memandangkan ramai yang mengalami penyakit kronik.

“Sistem imun kita semakin lemah apabila usia meningkat, dan influenza paling berbahaya bagi warga tua dan anak kecil. Penyakit kronik dalam kalangan dewasa lebih tua juga boleh menyebabkan kematian berkaitan influenza," katanya.

Dr Pang pula berkata, pesakit pernafasan kronik sedia ada juga terdedah kepada kerumitan lanjut apabila menghidap flu.

"Ramai penghidap COPD, biasanya perokok, yang lebih terdedah kepada jangkitan pernafasan. Walaupun cadangan pertama ialah berhenti merokok, langkah mendapatkan vaksin terhadap influenza seharusnya diutamakan," jelasnya.

Lancar MIWG  

MSIDC juga mengambil kesempatan ini untuk melancarkan Malaysia Influenza Working Group (MIWG) di acara tersebut. Ditubuhkan di bawah naungan MSIDC, MIWG bertujuan menangani isu penting di dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa.

Keutamaan kumpulan meliputi empat bidang penting, iaitu pemantauan; dasar dan garis panduan; sokongan dan pendidikan; dan juga penyelidikan.

Profesor Dr Zamberi sebagai Pengerusi MIWG berkata, pihaknya percaya bahawa menerusi empat bidang utama itu, MIWG dapat memberi impak terhadap pencegahan dan pengurusan influenza melalui pelbagai aktiviti, termasuklah kerjasama dalam penyelidikan, penubuhan data pengawasan masa sebenar, penubuhan dasar dan garis panduan bagi kumpulan berisiko tinggi, dan juga kempen kesedaran serta kempen pendidikan influenza untuk menggalakkan pengambilan vaksin.

Semasa membuat kesimpulan, Profesor Dr Zamberi berkata, golongan dewasa boleh membuat pilihan gaya hidup yang membawa kepada perlindungan kesihatan lebih baik untuk diri sendiri, keluarga dan sebagai penjaga menerusi perbincangan dengan doktor dan menambah ilmu tentang pemvaksinan.