ISU ibu kelar anak sendiri belum habis diperkatakan, timbul pula isu ibu buang bayi sendiri. Membaca liputan berita ini pastinya hati terusik pilu.

Kemurungan (depression) tidak terjadi begitu sahaja. Kajian Musthaq & Najam (2014) mengatakan kemurungan, kebimbangan (anxiety) dan stres mempunyai hubungan yang positif. Ini bermaksud seseorang yang mengalami stres dalam tempoh masa yang tertentu berpotensi untuk mengalami kebimbangan jika tidak dibantu. Manakala mereka yang menghidap kebimbangan cenderung untuk menghidapi kemurungan sekiranya tidak mendapatkan rawatan.

Menerusi kajian Wiegner L, Hange D, Björkelund C, Ahlborg G. Prevalence (2015) pula, didapati 1/3 wanita mengalami stres berbanding hanya 1/4 sahaja lelaki yang menghidapi stres. Kajian mereka juga menunjukkan wanita lebih kerap mengalami stres berbanding lelaki.

Ikuti perkongsian pengalaman DD ketika menghadapi dugaan yang dianggap meruncing dalam hidupnya.

Ia bermula apabila wujud orang ketiga dalam perkahwinan DD. Lebih memedihkan apabila suaminya telah berterus terang mengenai hasratnya untuk menikahi kekasih hatinya apabila tiba masa yang sesuai. Kekasih suami DD juga pernah menulis surat kepadanya mengenai  perasannya dan meminta agar sudi menerimanya sebagai madu.

Kesan perbuatan suaminya itu, menyebabkan DD semakin tertekan. Emosinya sering kali terganggu, air mata menjadi teman setia. Pengorbanan DD yang sanggup melepaskan pekerjaannya untuk memenuhi kehendak suami menumpukan perhatian kepada rumah tangga dan membesarkan anak-anak seperti tidak dihargai.

Emosi yang tidak stabil dan fikiran yang sentiasa bercelaru dek kerana terlalu memberi tumpuan kepada bebanan yang dihadapi, menyebabkan DD tidak dapat melaksanakan rutin harian dengan sebaiknya.

Pernah satu ketika DD terlelap ketika memandu, untuk mengambil anak-anak pulang dari sekolah. Dan pernah tidak membayar barang yang dibeli dek kerana ia berlaku di luar kawalan, disebabkan tenggelam dalam keasyikan memikirkan masalah yang dihadapi.

Bangun dari kemelut

ALLAH Maha Pengasih lagi Penyayang. DD diberi hidayah untuk bangun daripada kemelut ini apabila memikirkan anak-anaknya.

Anak-anak menjadi sumber kekuatannya untuk mencari jalan keluar daripada serabut yang dihadapi. DD menyedari bahawa lari daripada masalah bukanlah jalan penyelesaiannya.

Oleh itu, dia cuba atasi kemurungannya dengan mula mendekatkan diri kepada ALLAH dan menambah amalan sunat di samping melaksanakan amalan wajib. Kesannya dapat merasakan diri semakin dekat dengan ALLAH, semakin tenang hatinya.

Seterusnya, dia mengetepikan perasaan malu dengan mendapatkan bantuan daripada kaunselor. Perkongsian dengan seseorang yang profesional dalam hubungan menolong (kaunseling) telah membantu dia meringankan bebanan emosi dan keserabutan fikirannya.

DD juga selalu membaca perkongsian dalam penulisan blog motivator yang dapat membantu dirinya menurunkan tahap stres yang dialami. Di samping berusaha menyuntik semangatnya sendiri dengan melayari cerita motivasi untuk dia membuka minda lebih luas.  

Ketenangan itu membolehkan wanita ini menetapkan hatinya agar mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh memburukkan keadaan. Dia juga berusaha bermanis muka dan melayan suami seperti biasa. Sikap “sporting” DD ini membentuk satu keadaan yang tenang, menyebabkan suami DD percaya padanya dan menganggap DD seperti sahabat baiknya.

Mengambil kesempatan dalam situasi tenang itu, DD banyak melontarkan soalan-soalan khususnya kemampuan kewangan, soal tanggungjawab, perancangan jangka pendek dan panjang, implikasi kepada enam orang anak mereka serta latar belakang kekasih suaminya.

DD sanggup menelan “cerita cinta” suaminya, pada masa sama berusaha dengan cara lembut menyedarkan suaminya, ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak sebelum akhirnya berserah kepada ALLAH dengan sepenuhnya.

Pengalaman yang dikongsi oleh DD ini memberi gambaran bahawa hakikatnya wanita mempunyai kekuatan dan ketabahan yang luar biasa untuk bangun daripada kecelaruan fikiran. Wanita mampu berdiri semula dan keluar daripada kemelut hidup selagi wanita sendiri memilih untuk hidup dalam ketenangan dan gembira.

**Kredit Dr Yusni Mohamad Yusop (Committee International Muslim Health Conference 2018)