DILAHIRKAN di Indonesia dalam keluarga yang begitu mementingkan kesihatan dan kecantikan diri terutama menerusi amalan memakan jamu, aktres yang juga isteri kepada ahli perniagaan terkenal, Asyraf Khalid iaitu Tya Arifin, memperkenalkan rangkaian produk cecair jamu diberi nama Mutyara Beauty.

Tya cuba melawan arus kebanyakan artis tempatan yang lebih gemar menjual produk komersial seperti tudung dan minyak wangi, apabila optimis mengangkat jamu untuk dikomersialkan lebih jauh.

Lebih utama, menerusi rangkaian produk cecair dengan kandungan 350ml dan berharga RM68 itu, Mutyara Beauty hadir bagi mengubah skeptikal golongan wanita terutamanya yang melihat jamu hanya untuk santapan orang tua semata-mata.

Tya berkata, dia berharap kehadiran Mutyara Beauty itu dapat mengubah pandangan skeptikal tersebut dan diperluaskan lagi penggunaannya untuk semua wanita.

"Mutyara Beauty khususnya boleh diminum oleh wanita pada usia 16 tahun, mereka yang belum berkahwin hingga seterusnya. Bahkan saya mahu lihat ia menjadi keperluan wajib untuk ibu muda seperti saya untuk menghargai diri dan orang tersayang dengan penjagaan dalaman diri,” katanya ketika majlis pelancaran Mutyara Beauty diadakan baru-baru ini.

Jamu Mutyara Beauty dihasilkan dengan ramuan istimewa bahan semula jadi serta campuran herba, kunyit, halia, akar serapat dan kacip Fatimah. Tak ketinggalan ia juga direka dengan campuran buah delima dan cayenne.