KANAK-KANAK zaman kini banyak berinteraksi dengan teknologi melalui telefon pintar, permainan digital, dan menonton filem tetapi teknologi tidak terhad di situ sahaja, ia juga mempunyai banyak kelebihan yang positif.

Sehubungan itu, KidZania Kuala Lumpur menganjurkan program bertemakan teknologi, KidZ & Tech 3.0 bermula dari 18 Ogos lalu sehingga 16 September ini.

Program selama sebulan ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali lebih dekat tentang kegunaan dan manfaat Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik serta fungsinya pada masa hadapan.

Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad berkata, teknologi akan sentiasa berkembang pesat dan pihaknya berharap program KidZ & Tech 3.0 akan memberikan inspirasi kepada peserta untuk menerokai dunia teknologi yang luas ini.

Selain itu, melalui KidZ & Tech 3.0, kanak- kanak diberi peluang untuk ‘Learn Life Today' dan salah satu bidang yang sedang pesat berkembang ialah AI. Kanak-kanak diberi peluang untuk bermain sambil belajar melalui Emoji Scavenger Hunt yang juga boleh disertai oleh seluruh keluarga!

Secara keseluruhannya, KidZ & Tech 3.0 menawarkan lima program khusus: Aktiviti AI-inspired Emoji Scavenger Hunt, Virtual & Augmented Reality (permainan VR, Be Internet Awesome, DIY AR Greeting Cards), Coding & Robotics, Forensic Science (penyiasatan di lokasi jenayah menggunakan Debu Ibu Jari dan Eksperimen Cahaya UV oleh Forensik UKM) dan Creative Photography (Canon Light Tail Photography, U Mobile Clone Photography).