DIA kelihatan punyai latar belakang normal seperti wanita lain, namun sebaliknya hidup wanita ini penuh dengan pengalaman pahit.

Hanya mahu dikenali sebagai Zu, merupakan seorang wanita yang aktif dan komited pada kerja. Namun setelah berumah tangga, segalanya berubah apabila Zu bersuamikan seorang yang kuat cemburu.

Zu menceritakan, suaminya bukan sahaja tidak memberinya bergaul dengan rakan lelaki satu tempat kerja, tetapi mahu bergaul atau berbual dengan adik ipar lelaki juga tidak dibenarkan. Memang pelik dan menguji kesabaran.

Pun begitu, jelas Zu dia terima sikap suaminya itu dengan hati terbuka kerana memikirkan anak dan tidak mahu menjadi isteri derhaka.

"Saya jalankan semua tanggungjawab sebagai isteri dan sedaya upaya memberi layanan terbaik kepada suami.

"Tetapi, kerja yang saya lakukan ketika itu, ada sahaja tidak disenangi suami sehingga kerap kali dipukul dan disakiti.

"Empat orang anak kami juga menjadi mangsa kaki dan tangannya, sehingga mereka takut untuk berhadapan dengan ayah mereka," ujarnya.

Akhirnya, kerana tekanan daripada suami, biarpun memegang jawatan tinggi ketika kerja dahulu, Zu mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

"Saya ingatkan, apabila dah berhenti kerja, perangai cemburu dia akan berkurang, tetapi sangkaan saya meleset. Sedangkan saya di rumah pun, suami masih menuduh saya melakukan perkara tidak senonoh dengan lelaki lain.

"Dia selalu bayangkan yang bukan-bukan saya buat belakang dia. Bila dia marah, memang saya akan dipukul, diherdik dan dimarahi.

"Anak-anak juga tidak boleh buat salah sikit, pasti mereka juga akan dipukul. Sehingga mereka trauma," katanya.

20 tahun katanya, dia bertahan hidup dengan suaminya itu kerana selalu berdoa agar semakin berusia umur mereka, semakin berkurang perangai cemburu dan baran tersebut di samping ada rasa risau dalam diri Zu apabila memikirkan nasib jika berpisah dengan suami.

"Tetapi, semakin teruk sikapnya dan tidak nampak perubahan. Anak juga semakin besar dan saya tidak sanggup mereka hidup dalam ketakutan dan trauma sehingga dewasa.

"Akhirnya, setelah menghitung dan berfikir panjang, saya memohon cerai daripadanya. Memang bekas suami marah.  

"Tetapi saya tekad dan ke mahkamah syariah sendiri untuk meminta permohonan tersebut. Proses penceraian kami mengambil masa setahun sebelum sah bercerai," kongsinya penuh lega.

Bangun ubah masa depan

Terumbang ambing seperti dipukul ombak selepas berpisah dengan suaminya, tidak langsung melunturkan semangat wanita ini.

Zu berkata, keluarga dan sahabat ramai memberikan sokongan serta bantuan untuk dia bangkit semula.

"Biarpun awalnya perit untuk menguruskan anak seorang diri, tetapi dengan kesabaran dan usaha tidak putus asas mencari pekerjaan, akhirnya diterima sebagai kerani sebuah syarikat swasta. Gaji ketika itu RM800 sebulan, ia sudah memadai untuk waktu permulaan.

"Lebih bersyukur, saya diterima pula bekerja di salah sebuah syarikat perunding kewangan," katanya.

Selain itu, pengalaman kerja dan berumah tangga banyak membantu Zu untuk berkongsi semangatnya dengan wanita lain di luar sana.

"Daripada pengalaman pahit itu, mengajar seseorang untuk bangkit dan mengubah kehidupan kepada lebih baik demi masa depan dan anak-anak.

"Anak-anak juga alhamdulillah kini semakin pulih semangatnya setelah beberapa lama trauma dengan kejadian sebelum ini.

"Kini saya cuba berkongsi semangat ini kepada wanita lain yang hadapi pengalaman pahit sama untuk berani bangkit daripada belenggu ketakutan untuk masa depan mereka yang lebih cerah," katanya.