DALAM usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan influenza, satu sesi Dialog Media telah diadakan untuk membincangkan kelaziman penyakit ini di negara ini, bagaimana influenza mempengaruhi kumpulan berisiko tinggi dan peranan pencegahan melalui vaksinasi.

Sesi tersebut dianjurkan oleh Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) dengan sokongan Sanofi Pasteur.

Influenza, yang sering disalah anggap sebagai selesema biasa kerana simptom yang serupa, adalah penyakit yang lebih berbahaya dan boleh menyebabkan kemasukan hospital dan juga kematian dalam kalangan mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi. Hakikatnya, penyakit ini boleh dicegah melalui vaksinasi. Oleh kerana virus ini sentiasa bermutasi, pemvaksinan influenza tahunan disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi golongan yang berisiko tinggi.

Ahli panel terdiri daripada Profesor Dr Zamberi Sekawi, Presiden MSIDC dan Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal & Profesor Mikrobiologi Perubatan; Dato' Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Runding Pediatrik dan Neonatalogi; Profesor Dr Tan Maw Pin, Pakar Perunding Geriatrik; dan Profesor Madya Dr Pang Yong Kek, Pakar Perunding Kanan Perubatan Pernafasan.

Dalam perbincangan panel, Profesor Dr Zamberi berkata, penyakit tersebut lazimnya tidak dipandang serius oleh rakyat Malaysia, khususnya kumpulan berisiko tinggi.

"Namun influenza boleh dan telah menyebabkan wabak dan pandemik pada masa lalu. Hari ini, lebih ramai orang melancong atau bercuti, sama ada untuk perniagaan, riadah atau menunaikan ibadah. Justeru, kita perlu melindungi diri kita dengan mendapatkan vaksin terhadap flu sekurang-kurangnya dua minggu sebelum memulakan perjalanan," katanya