PENERAJU industri ruangan kerja bersama atau 'coworking space Common Ground' baru-baru ini mengumumkan usaha sama dengan pusat pengayaan kanak-kanak Curious Child bersempena pembukaan lokasi kelimanya di Lembah Klang.

Pada masa ini, tidak banyak ruangan pejabat yang menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak atau perkhidmatan sepertinya dan ini banyak mendorong wanita berkerjaya di luar sana memilih untuk berhenti untuk menjaga anak-anak mereka. Mengambil peluang ini, usaha sama terbaharu Common Ground dengan Curious Child  memberi sokongan kepada ibu-ibu bekerja yang perlu mengurus waktu di antara kerjaya profesional dan tanggungjawab rumah tangga.

Diasaskan oleh ratu cantik dan ibu bekerja Carey Ng, Curious Child bersambung dengan lokasi 21,000 kaki persegi Common Ground terbaharu di pusat membeli belah terkenal Citta Mall di Ara Damansara.

Pengasas bersama Common Ground, Erman Akinci berkata, perjalanan setakat ini sangat menarik dan dipenuhi dengan perancangan strategik dan pelaksanaan yang berhati-hati untuk kami sampai ke tahap hari ini.

"Selari dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini dalam menangani soal kebajikan kanak-kanak dan pemerkasaan wanita, matlamat utama usaha sama dengan Curious Child adalah untuk memberi perkhidmatan yang memenuhi keperluan ibu-ibu bekerja serta menggalakkan mereka menyertai komuniti yang kian berkembang untuk mengguna pakai dan menikmati perkhidmatan yang ditawarkan oleh kami, dalam pada membina kerjaya mereka," katanya.