PENGUNJUNG kini boleh menikmati beraneka pilihan gaya hidup serta makanan dan minuman (F&B) yang mengujakan apabila mereka mengunjungi 3 Damansara (Sebelum ini dikenali sebagai Tropicana City Mall).

Pusat beli-belah yang baru saja selesai melalui proses penjenamaan semula itu, menawarkan pengalaman membeli-belah yang sempurna kepada pengunjung dengan menampilkan 170 butik fesyen, gaya hidup serta restoran di keempat-empat aras bangunan berkenaan.

Bersambung dengan blok pejabat 12 tingkat, lokasi 3 Damansara yang strategik itu terletak di antara dua lebuh raya utama, Sprint dan Lebuhraya Damansara Puchong, membolehkan pengunjung dari Kuala Lumpur serta sekitar Petaling Jaya datang ke pusat beli-belah berkenaan dengan mudah.  

Bagi memastikan aset berkenaan mencapai potensinya, penambahbaikan telah dilakukan termasuk menyusun semula ruang perniagaan di Aras Bawah, 1 dan 2 untuk memperbaiki campuran perniagaan serta meningkatkan kualiti penyewa. Kemudahan-kemudahan asas seperti tandas kini sedang menjalani pengubahsuaian.

Sempena meraikan kejayaan pengubahsuaian dan penjenamaan semula 3 Damansara, satu majlis turut dianjurkan baru-baru ini bagi memperkenalkan logo “pelangi kinetic”nya yang terbaharu.