DUA wanita ini adalah pasangan kembar iaitu Syafiqah Abd Razak dan Atiqah Abd Razak yang mana mereka sedang meningkat naik dalam bidang guaman dengan memiliki firma guaman sendiri sejak tiga tahun lalu iaitu Atiqah Syafiqah & Associates yang terletak di Batu Caves, Selangor.

Berkongsi mengenai bakatnya sehingga memilih bidang guaman sebagai pilihan kerjaya bagi kembar ini, Syafiqah berkata, sejak di bangku sekolah lagi, pasangan ini sememangnya pelajar yang aktif dan sering menyertai forum serta debat antara sekolah.

Namun, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperoleh sedikit tidak memuaskan seterusnya menghalang untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam yang diimpikan.

Namun, kegagalan itu tidak menjadi penghalang untuk terus mengejar cita-cita sejak kecil iaitu menjadi seorang peguam. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di tingkatan 6.

Syafiqah berkata, mereka belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya bergelar pelajar cemerlang apabila memperoleh keputusan terbaik dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Alhamdulillah selepas mendapat keputusan STPM pada 2007, kami berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang perbandingan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada 2014.

"Tidak berhenti dengan kelulusan Sarjana Undang-Undang, setelah bekerja lebih kurang dua tahun dengan firma guaman yang berbeza, kami sambung pula dalam bidang Diploma Lepasan Ijazah Syariah & Amalan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2016 bagi menimba lagi ilmu dan pengalaman," katanya.

Kembar ini yang berasal dari Perak ini juga berkongsi bidang kerjaya iaitu peguam bela dan peguam cara, berlainan pengkhususan.

"Atiqah lebih kepada peguam hartanah, manakala saya pula lebih fokus dalam undang-undang syariahdan litigasi sivil. Jadi tugas kami tidak bertindih antara satu sama lain.

"Pada asalnya masing-masing bekerja di firma yang berbeza, iaitu  Tetuan Syafiqah Razak  & Co, sebelum bergabung dan menukar firma ini kepada  Tetuan Atiqah Syafiqah & Associates pada awal 2017," katanya.

Perlu ada keberanian

Mengakui masing-masing masih baru dalam bidang guaman, Syafiqah berkata, sesi pembelajaran mereka masih berterusan sehingga kini.

"Kami juga mencari ilmu secara 'online' dan 'offline' yang bukan sahaja berkenaan ilmu undang-undang tetapi memahami konteks al-Quran.

"Sejak itu, kekuatan kami dalam bidang guaman yang penuh dengan cabaran ini adalah al-Quran. Kami akan lakukan yang terbaik dalam setiap kes, biarpun akhirnya kes itu menang atau kalah, ia biasa.

Sebagai peguam juga, pasangan kembar ini berkata, perlu ada keberanian bercakap depan khalayak, selain mempunyai integriti yang teguh bagi mengelak tergelincir dek pelbagai godaan.

"Apabila kami menjadikan kerjaya ini sebagai cita-cita sejak kecil dan mahu ia terus berjaya, kami sentiasa tanamkan dalam diri untuk sentiasa ikhlas dan jujur dalam membantu pelanggan bagi kes yang diterima.

"Tidak kisah ia kes besar atau kecil, kami sedaya upaya buat yang terbaik agar kes tersebut berjaya diselesaikan. Contohnya kini kami sedang mengendalikan kes berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pula," ujarnya.

Terlibat dalam NGO

Sementara itu, Atiqah berkongsi selain hanya terlibat dengan tugas di firma sahaja, bagi meluaskan lagi skop tugas mereka membantu mereka memerlukan, pasangan ini turut terlibat dengan aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) Ikram.

"Daripada penglibatan itu, kami beberapa kali berkongsi mengenai kesedaran pelbagai gejala yang membimbangkan seperti pornografi dan pedofilia dan juga berkaitan hak-hak wanita.

"Ia selari dengan tugas kami sebagai peguam wanita, pastinya mahu membela nasib wanita terutama yang teraniaya atau cetek ilmu mengenai undang-undang apabila menghadapi masalah untuk mereka bangkit dan sedar langkah boleh diambil dari sudut undang-undang.

"Namun, saya juga nak tegaskan yang 'peguam bukanlah tuhan'. Kami hanya akan lakukan yang terbaik untuk membantu pelanggan selesaikan kes masing-masing," ujarnya.

Atiqah dan Syafiqah juga bersyukur kerana ibu bapa, Abdul Razak Mohd serta Fazhimah  Ahmad banyak menyokong mereka sejak kecil hingga ke hari ini.