MALAYSIA Airports mengumumkan pemilihan KLIA oleh Parfums Christian Dior dengan usaha sama Colours & Fragrances sebagai lokasi untuk pembukaan kedai sementaranya yang pertama di lapangan terbang di Asia Tenggara.

Dibuka sejak 15 Julai lalu, Dior Backstage merupakan konsep baharu yang menawarkan pengalaman unik yang tidak dapat dilupakan oleh pengunjung KLIA. Direka sepenuhnya untuk mengetengahkan yang terbaik dari Dior, kedai Dior Backstage ini merupakan penampilan perdana khusus bagi Dior Makeup. Kedai sementara ini dihiasi dengan hiasan mewah dan grafik berwarna hitam berkilat, yang menyerlahkan gaya Dior.

Direka oleh Peter Philips, pengarah imej dan kreatif Dior Makeup, Dior Backstage merupakan koleksi mekap pertama yang diinspirasikan dari gaya solekan model seperti yang dilakukan di belakang pentas bagi wanita yang inginkan hasil mekap seperti seorang profesional.

Koleksi mekap profesional ini telah berjaya mendapat maklum balas yang amat positif dalam kalangan juru solek artis dari New York sehinggalah ke Seoul. Ia kini boleh didapati di kedai sementara yang terletak di Bangunan Satelit KLIA.

Junior Cedeño, dari Spain yang merupakan juru solek artis profesional Dior turut berada di kedai sementara Dior Backstage di KLIA untuk berkongsi tip profesional dan peribadi pada 29 Julai lalu. Junior telah bekerja dengan banyak majalah fesyen antarabangsa seperti Vogue, Elle, Harper’s Bazaar, Glamour dan Cosmopolitan.

Sebagai seorang ikon antarabangsa yang terkenal dan juru solek artis Dior yang sangat mahir, beliau pastinya mampu menghasilkan mekap yang sama seperti pertunjukan fesyen Dior atas permintaan.