WANITA kini ramai yang berjaya. Ada antara mereka juga setanding dan ada yang lebih tinggi jawatannya daripada kaum lelaki yang dahulu, kaum Adamlah banyak mendominasi jawatan-jawatan penting dalam syarikat.

Tidak hairan ramai wanita kini lebih berjaya dan berjawatan tinggi yang boleh dijadikan inspirasi kepada wanita lain untuk lebih berjaya. Itulah yang dikongsikan oleh wanita berjaya kali ini, Nor Azlina Nordin, 36, yang menjawat jawatan sebagai Pengurus Cawangan di sebuah bank di Cheras.

Berkongsi perihal dirinya sebagai wanita berkerjaya, Nor Azlina atau mesra di sapa Amy memberitahu yang dirinya sentiasa yakin dengan apa saja dilakukan.

"Tidak pernah ada perkataan 'no' dalam diri saya. Dan bagi saya juga, perbezaan lelaki dan perempuan hanyalah perkataan pada zaman dahulu. Zaman Sekarang baik lelaki atau perempuan kalau kita tidak ada usaha untuk mempertingkatkan mutu diri sendiri kita lah insan paling rugi dalam dunia ini.

"Dengan prinsip ini, menjadikan saya lebih yakin untuk meletakkan diri setanding lelaki selagi ada batasan sebagai seorang ibu dan wanita berkerjaya," ujarnya kepada Femina.

Bukan cita-cita asal

Cerita sedikit mengenai kerjayanya, menurut Amy, dia mula bekerja di bank berkenaan pada 11 Januari 2010 sebagai Eksekutif Jualan Pengguna kemudian naik pangkat menjadi Pengurus Jualan, kemudian dilantik pula sebagai Pengurus Cawangan.

Pada awalnya, bekerja di bank bukanlah menjadi salah satu cita-citanya. Ia bermula secara tidak sengaja apabila tamat belajar, keluarganya meminta abangnya yang bekerja di salah sebuah bank yang sama, untuk menghantar resume Amy ke bank tersebut.

"Di situ lah bermulanya kerjaya saya di bank, sementelah ketika itu, saya langsung tiada pengalaman dalam kerjaya tersebut.

"Namun lama kelamaan minat tersebut mula datang apabila ramai pelanggan, kawan, keluarga dan ketua bagi sokongan dalam kerjaya saya ini sehingga saya berpeluang memegang jawatan sebagai pengurus cawangan," katanya penuh syukur.

Pun begitu, akui ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini, memegang jawatan penting dalam sesebuah perbankan, dia tidak terlepas daripada pelbagai cabaran.

"Saya tidak nafikan apabila kita cepat naik pangkat perasaan dengki dari orang keliling memang banyak yang saya tempuh.

"Termasuklah cuba menjatuhkan saya dengan menabur fitnah dan hantar surat layang ke pihak atasan. Tetapi Alhamdulillah, saya selalu percaya, jika kita membuat sesuatu dengan ikhlas ke jalan ALLAH, pasti semuanya akan menyebelahi kita.

"Saya pernah rasa putus asa sehingga mengadu dengan bos yang saya tidak mahu lagi terima jawatan sekiranya saya sentiasa dikecam begitu. Namun, salah seorang ketua saya memberi kata-kata semangat di mana ia adalah cabaran orang berjaya dan tuhan mahu menduga cara kita menempuhnya. Alhamdulillah dengan cabaran itu, saya di sini," jelasnya.

Ibu bapa, anak-anak pendorong utama

Sebagai wanita berkerjaya juga, sokongan dan dorongan daripada orang sekeliling turut membantu dirinya berjaya dan cekal sehingga kini.

"Kedua ibu bapa saya Katinah Hussin dan Nordin Pilus adalah pendorong utama saya, serta anak-anak saya Muhammad Raffael Nazreen dan Nor Sofea Isabel.

"Setiap hari meninggalkan rumah dengan niat untuk mencari rezeki. Dan sebagai ibu tunggal, saya kena kuat untuk anak-anak kerana sayalah kekuatan untuk mereka berdua membesar.

"Dan saya perlu memberi contoh terbaik kepada anak-anak agar suatu hari nanti mereka lebih kuat dan lebih berjaya daripada saya," katanya.

Dari segi inspirasi dirinya pula, Amy yang merupakan anak kelima daripada enam beradik, masih menjadikan ibu bapa serta anak-anaknya sebagai inspirasi untuk berjaya.

"Anak-anak saya memerlukan saya untuk mereka terus melangkah sebagai orang berjaya. Dan kepada kedua ibu bapa saya, ini adalah janji saya setelah saya habis belajar untuk menjadi orang berjaya. Kini masanya untuk saya membalas jasa mereka," ujarnya.