NEAL'S Yard Remedies, jenama kedai kecantikan dan organik, membuka satu lagi cawangannya di One Utama, Petaling Jaya baru-baru ini menjadikan ia cawangan kelima jenama tersebut di Malaysia.

Pengurus Pemasarannya, Irene Png berkata, berikutan permintaan yang tinggi di kalangan pelanggan negara ini, syarikat telah bersetuju untuk membuka cawangan kelima ini di One Utama yang menjadi salah satu lokasi strategik untuk pengguna mendapatkan produk jenama tersebut.

"Sejak 1981 lagi, jenama ini memang diperakui dalam penghasilan produk berasaskan sumber organik yang selamat tanpa bahan terlarang.

"Maka, sejak dipasarkan di Malaysia, cawangan Neal's Yard Remedies telah berada di empat lagi lokasi sebelum ini iaitu The Garden Mall, Bangsar Village, Sunway Putra Mall dan KLCC," katanya pada majlis pelancaran itu.

Pada majlis sama, turut dilancarkan produk baharu iaitu Frankincense Intense Lift Eye Cream yang membantu masalah lingkaran bawah mata dan kantung bawah mata gelap atau kedutan.

Menurutnya, jenama tersebut akan fokus pada pasaran dagangan atas talian atau e-dagang ketika ini dan masa akan datang berdasarkan kepesatan pasaran sedemikian ketika ini.