PAMERAN Kecerdasan dan Sukan Antarabangsa Malaysia (Misfit) 2018 yang melabuhkan tirai pada Ahad minggu lalu, berjaya mencapai sasarannya apabila dapat mengumpulkan pelbagai pemain industri dan penyedia perkhidmatan berkaitan kecerdasan serta sukan di bawah satu bumbung yang pertama kali diadakan di negara ini.

Penganjuran yang diadakan bermula 3 hingga 5 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu juga telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefli Ahmad dan berjaya menarik lebih 15,000 pengunjung ke acara tersebut.

Pengarah bersama Misfit 2018, Sukinah Zulkifli berkata, ternyata pada acara tersebut, penyertaan wanita sangat memberangsangkan iaitu sebagai pempamer, ahli panel dan peserta.

“Ini membuktikan, wanita kini sudah semakin celik mengenai aktiviti sukan dan kecergasan bagi mendapatkan kualiti hidup yang lebih sihat dan baik terutama dengan menyertai program seperti Misfit ini,” katanya.

Menurutnya, selain pelbagai aktiviti menarik disertai oleh pengunjung, kehadiran personaliti popular daripada kalangan selebriti, cikgu fitnes terkenal dan juga pakar motivasi yang terdiri daripada wanita hebat di negara ini turut memeriahkan lagi pameran tersebut.

“Secara tidak langsung, pelbagai aktiviti berkaitan kecerdasan dan sukan serta maklumat berguna dapat diperoleh dalam satu tempat. Selain berkomunikasi dengan tetamu jemputan yang boleh memberi inspirasi kepada pengunjung.

"Kempen-kempen kesedaran berkaitan wanita dan keluarga memberikan banyak informasi kepada pengunjung. Seperti gerai pameran ZuriatCare, Malaysia Against Ponography, Kempen Stop Perogol Dalam Rumah, Talian Nur dan khidmat kaunseling daripada Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.

Acara utama yang turut membantu dalam kesedaran mengenai perogol dalam rumah juga berjaya menarik penyertaan melalui aktiviti Mega Zumba X Kempen #Stopperogoldalamrumah.

“Zumba ini bukan sahaja cergas dengan senaman yang dilakukan, tetapi peserta yang mendaftar ada yang membawa pulang cabutan bertuah bernilai RM10,000," ujarnya.

Diangkat sebagai acara tahunan

Selain acara di PWTC, Misfit 2018 turut bersambung (diadakan) di Persada Johor iaitu pada 5 hingga 7 Ogos baru-baru ini yang juga mengumpulkan pemain, penyedia dan agensi berkaitan kecerdasan dan sukan.

Sukinah berkata, penganjuran pada dua tempat itu nyata menunjukkan maklum balas positif daripada semua pihak.

"Justeru, kami akan menjadikan pameran ini sebagai acara tahunan, dan berharap penganjuran pada masa akan datang, penyertaan dan bilangan pengunjung akan lebih memberangsangkan dengan pelbagai lagi aktiviti menarik diadakan.

“Ia sesuai dengan tujuan pameran ini, di mana mahu menjadikan Malaysia sebagai hab sukan, negara sukan, menggalakkan pelancongan sukan dan akhirnya mewujudkan masyarakat yang lebih sihat," katanya.

Pada pameran sama, SukanSinar.com juga telah berjaya dilancarkan dengan penuh meriah yang dirasmikan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.