PENYERTAAN wanita dijangka terus menghangatkan Malaysia International Sport & Fitness Fair (Misfit) 2018 yang akan berlangsung bermula 3 hingga 5 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan 5 hingga 7 Ogos di Pusat Antarabangsa Persada Johor bermula jam 9 pagi hingga 9 malam.

Pengarah Bersama Misfit, Sukinah Zulkifli berkata, menariknya mengenai penganjuran Misfit tersebut, ia merupakan pameran sukan dan kecergasan antarabangsa yang pertama dan terbesar di Malaysia.

“Sehingga kini, penyertaan daripada pempamer, ahli panel jemputan dan peserta memang menggalakkan dan majoriti mereka adalah terdiri daripada wanita.

“Ini membuktikan, wanita kini sudah semakin celik mengenai aktiviti sukan dan kecergasan bagi mendapatkan kualiti hidup yang lebih sihat dan baik terutama dengan menyertai program seperti yang akan berlangsung ini,” katanya.

Menurutnya, selain pelbagai aktiviti menarik untuk peserta dan pengunjung, terdapat juga penglibatan dalam kalangan selebriti, cikgu fitnes terkenal dan juga pakar motivasi yang terdiri daripada wanita hebat di negara ini.

“Dengan penyertaan mereka, ia pasti akan menghangatkan lagi program tiga hari ini dan menjadi lubuk bagi semua pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat berkenaan sukan, kesihatan, kecergasan, motivasi dan permainan yang mengujakan.

“Selain aktiviti, pelbagai perkhidmatan dan jualan produk berkaitan sukan dan kecergasan boleh didapati di Misfit ini nanti dengan tawaran menarik," katanya.

Acara utama yang pasti menarik adalah Mega Zumba X Kempen #Stopperogoldalamrumah, di mana ia bertujuan mempromosikan kempen dan kesedaran tentang sumbang mahram dengan mendidik masyarakat.

"Zumba ini bukan sahaja cergas dengan senaman yang dilakukan, tetapi peserta yang mendaftar untuk sertai berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai RM10,000.

"Selain itu, Women Fitness juga akan turut diadakan oleh Joanna Soh, dianugerahkan Health & Fitness yang mempunyai lebih daripada 1 juta pengikut di Youtube," ujarnya yang juga merancang untuk menjadikan Misfit sebagai acara tahunan.

Sajikan pelbagai segmen menarik

Misfit juga menyediakan sehingga 212 gerai pameran di PWTC dan 150 di Persada Johor serta akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Program itu juga akan menjadi platform perniagaan hebat yang akan menyatukan usahawan, peminat sukan, pembekal, peruncit dan pendidik sukan untuk membangunkan sistem industri sukan yang semakin berkembang.

Antara segmen akan disajikan seperti pakaian sukan dan aksesori, makanan dan minuman kesihatan, peralatan dan kemudahan sukan, pendidikan dan kolej sukan, pertandingan dan program sukan, rekat dan santai sukan, E-sport serta Sukan pelancongan.

Sukinah berkata, pihaknya menyasarkan dapat menarik lebih 60,000 pelawat pada acara itu nanti yang boleh dikunjungi oleh sesiapa sahaja dari pelbagai peringkat umur.

"Misfit 2018, diharapkan menjadikan Malaysia sebagai hab sukan, negara sukan, menggalakkan pelancongan sukan dan akhirnya mewujudkan masyarakat yang lebih sihat.

"Antara jenama terkemuka yang akan berada di Misfit 2018 ialah Puma, Al-Ikhsan, Celebrity Fitness, Body Shop, Muslimah Aktiv, Sugarbelle Cosmetic, Glory Arena, Pakaian Viq dan banyak lagi.

"Selain itu, bagi yang meminati perkongsian motivasi daripada pakar motivasi terkenal Prof Dr Muhaya, beliau juga akan berada di Misfit untuk berkongsi ilmu mengenai 'I am My Own Hero' dibawakan oleh ZuriatCare bersama dengan Amin Idris dan Dayah Bakar," katanya.

Pastinya Misfit menjanjikan pelbagai aktiviti padat yang sangat berguna kepada pengunjung, baik yang bujang atau berkeluarga kerana segala-galanya ada di sana serta peluang untuk menang pelbagai hadiah menarik sehingga RM30,000.

Sebarang pertanyaan berkenaan Misfit boleh hubungi Nainikifli di talian 03-55230234 atau layari laman web www.misfitmy.com.