"AGAK-AGAK ada orang nak kahwin dengan saya tak nanti?" Itu soalan pertama bila diajukan kepada mak saudara Mejar Marina Harun ketika keputusannya untuk bergiat dalam lapangan ketenteraan iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ketika itu ibu saudaranya juga berada dalam bidang yang sama.

Nampak lucu soalan itu, namun persoalan itu pasti bersarang di fikiran pelatih wanita yang ingin memasuki tentera kerana ramai beranggapan tentera ini perlukan seseorang yang kuat dan lasak. Justeru membuatkan Mejar Marina ketika itu bimbang apabila memasuki dunia ketenteraan, sukar untuknya mendapat jodoh.

Namun, jelas Ketua Bahagian Perhubungan Awam (PR) TUDM ini, usai menjalani latihan dan mula berkhidmat dalam kerjaya itu, anggapan awalnya ternyata meleset kerana, tugas yang dimainkan memang agak keras dan kental, namun kehidupan masih dilalui seperti biasa.

Jodohnya juga hadir hanya dua tahun berkhidmat di TUDM, di mana dia berkahwin pada tahun 2003 dengan seorang anggota TUDM juga.

Menceritakan pula, mengenai kerjayanya dalam lapangan ketenteraan, Marina berkata, ia bukanlah sesuatu yang dirancang dan bukan minatnya juga sejak awal dalam bidang tersebut.

"Ia berlaku secara kebetulan apabila sedang membelek surat khabar dan terlihat iklan kekosongan jawatan PR di Angkatan Tentera Malaysia. Saya terus pohon kerana saya juga mempunyai kelulusan bidang komunikasi (penyiaran) di Institut Teknologi Mara (kini dikenali sebagai UiTM) ketika itu," katanya kepada Femina ketika ditemui di Pangkalan TUDM, Subang baru-baru ini.

Marina akhirnya berjaya memasuki TUDM pada 3 September 2001, bermula di Cawang Tadbir di No 6 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan kemudian di Cawang Tadbir Pangkalan Udara Subang, Pangkalan Udara Kuching, Bahagian Sumber Manusia, Markas Tentera Udara dan Markas Pemerintahan Bantuan Udara.

"Saya juga pernah dipanggil untuk bertugas di bahagian PR di Kementerian Pertahanan selama empat tahun dan pernah ditempatkan sementara di Pejabat Menteri Pertahanan bagi menguruskan dan mempromosikan LIMA'13.

"Dan pada Mac 2017, saya kembali ke TUDM untuk menggalas tugas sebagai Ketua bahagian PR TUDM sehingga kini," kongsinya.

Cabaran ketika berlaku nahas

Sesuai dengan tugasnya sebagai PR, Marina berkata, tanggungjawabnya bukanlah mudah apabila perlu memastikan imej dan urusan berkaitan TUDM berjalan lancar serta terjaga.

"Terutama hubungan dengan pihak media, perlu sentiasa dijaga kerana saling membantu menyalurkan maklumat.

"Apa sahaja majlis dan kenyataan melibatkan pegawai tertinggi TUDM seperti Panglima, perlu kami aturkan untuk disampaikan kepada media dan dikongsi pula dengan masyarakat," jelasnya.

Dan akui Marina, tugas PR TUDM lebih besar skop kerjanya berbanding pengalamannya di Kementerian Pertahanan, kerana segala aktiviti dan hal berkaitan TUDM perlu diambil tahu yang mana ia merangkumi semua pangkalan seluruh Malaysia.

"Sama ada berkaitan sesuatu isu, mempromosikan TUDM, bina keyakinan masyarakat terhadap TUDM dan segala aktiviti dijalankan memerlukan kami berhubung dengan pihak media untuk membantu TUDM menyampaikannya kepada masyarakat," katanya.

Mengulas pula perkara paling mencabar ketika menggalas tugas sebagai PR, Marina berkata, apabila berlaku sebarang kemalangan melibatkan pesawat TUDM.

"Kemalangan begini memerlukan kehadiran PR sepanjang masa, kerana kami perlu pastikan segala maklumat tepat dan menjadi rujukan media untuk mendapatkan kenyataan berkaitan insiden tersebut dari semasa ke semasa. Dan segala maklumat hanya disampaikan melalui kenyataan media atau sidang media oleh Panglima.

"Justeru penyusunan gerak kerja dan jadual sangat penting bagi kami," katanya.

Tolak ansur urus anak-anak

Biarpun sibuk dengan tugas, lumrah sebagai wanita yang juga bergelar isteri dan ibu, masa dengan keluarga masih diutamakan.

Marina mengakui masa bersama keluarga agak terbatas dengan tugas kerja digalasnya yang ada ketikanya tidak menentu.

"Tetapi saya akan pastikan, jika saya ada tugas luar, saya akan meminta suami tolong menguruskan anak-anak. Jika kerja tersebut boleh membawa mereka bersama, saya akan bawa sekali asalkan si ayah ada menjaga anak-anak.

"Oleh itu, kerjasama dan tolak ansur antara suami isteri itu penting agar hubungan keluarga termasuk anak-anak tidak terus terabai," jelasnya.

Solekan: Faizan Md Salam