BARU-BARU ini, jenama terkemuka aksesori, kasut dan beg tangan mewah antarabangsa, Roger Vivier mengadakan satu majlis pengenalan koleksi baharunya sempena musim sejuk di butiknya yang bertempat di Pavilion Kuala Lumpur iaitu Koleksi Musim Sejuk 2018.

Rekaan koleksi kali ini tampak lebih moden, tegas dan feminin sesuai dengan bakat gayanya dengan mengetengahkan bahan-bahan yang berbeza seperti penggunaan kain fabrik 'herringbone masker' dengan jalur dari zaman terdahulu.

Selain itu, sumber inspirasi koleksi Roger Vivier juga terhasil daripada sentuhan pertembungan budaya moden 60-an dengan Fortuny’s Venice.

Tambah lebih eksklusif dengan adanya sentuhan kekayaan yang menggabungkan pengaruh Andalusia-Arab dan Maghribi bersama-sama.

Dari segi pemilihan warna pula, koleksi musim sejuk ini menyesuaikan pendekatan eksentrik dan orientalis. Ia merangkumi warna hijau,  kemudian dihadirkan juga warna ungu serta warna yang disebut sebagai khaki pudar, warna kelabu, krim putih, hitam dan indigo.

Kali ini juga, koleksi baharu itu mengetengahkan kasut tumit Choc yang diberi nafas baharu berdasarkan rekaan tumit kasut oleh Roger Vivier pada tahun sebelum ini dengan menggunakan benang merah sebagai kemasan bagi menyerlahkan koleksi feminin.

Hadir dalam bentuk kasut but, kasut sarung, kasut ala tentera dan kasut tumit ia, sentiasa dikaji semula dan didatangkan tiga ketinggian yang berbeza iaitu 5, 8.5 dan 10 cm.