BENAR kata pepatah ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’, bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yang mahu memberikan didikan yang baik kepada anak-anak terutama tabiat menabung, pemilihan kerjaya dan keprihatinan pada keluarga.

Tabiat tersebut nyata berkesan kepada anak-anak di negara ini apabila satu kajian telah dilakukan menunjukkan kanak-kanak Malaysia sudah ada keprihatinan tentang kewangan, kerjaya dan keluarga.

Hasil kajian tersebut menemui hampir lapan daripada 10 kanak-kanak menabung untuk masa depan atau untuk membeli barangan kesukaan.

Mereka juga menunjukkan minat untuk mempelajari pelbagai jenis kerjaya iaitu 82 peratus peserta ingin menceburi bidang kerjaya yang pernah dicuba dalam suai peranan.

Manakala lebih satu per tiga lebih menghargai keluarga berbanding kebendaan.

Antara tinjauan yang dilakukan adalah oleh Tinjauan Dwi-tahunan KidZ KidZania Kuala Lumpur dan Singapura dengan kerjasama Agility Research yang menemu bual lebih 500 kanak-kanak pada 2017.

Peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia daripada tujuh hingga 15 tahun dan antara topik yang dibincangkan termasuklah kewangan, aspirasi kerjaya dan minat mereka.

Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad berkata, di KidZania Kuala Lumpur, pihaknya sentiasa berusaha untuk memahami minat kanak-kanak bagi memberikan mereka pengalaman pembelajaran terbaik.

“Menerusi tinjauan ini serta pelbagai alternatif lain seperti KidZania CongreZZ, mereka berpeluang menyuarakan pendapat dan memberi input masing-masing.

“Ini bukan sahaja bermanfaat untuk mereka, malah untuk kanak-kanak lain juga,” katanya.

….………

Antara isi penting daripada hasil tinjauan tersebut adalah:

Kanak-kanak Malaysia Pandai Berjimat

Kebanyakan daripada mereka menerima wang elaun dan lebih satu per tiga peserta menyimpan wang elaun yang diterima untuk menabung dan membeli barangan kesukaan. Hampir satu per tiga peserta menabung untuk membeli telefon pintar, tablet atau komputer bimbit baharu.

Lebih satu per tiga peserta mempelajari tentang pengurusan wang menerusi pengalaman suai peranan di KidZania dan 70 peratus daripada peserta memilih untuk mendepositkan wang mereka di bank pusat KidZania. Menerusi tabiat menyimpan ini, mereka belajar untuk lebih menghargai wang dan menguruskan kewangan dengan baik.

Masa Berkualiti Bersama Keluarga

Hasil tinjauan mendapati peserta lebih mementingkan keluarga daripada kebendaan, namun lebih 50 peratus peserta menyatakan mereka hanya meluangkan masa kurang daripada dua jam bersama keluarga setiap hari. Memahami yang setiap kanak-kanak memerlukan hubungan kekeluargaan yang kukuh untuk membesar dengan baik, KidZania Kuala Lumpur berhasrat untuk mengadakan lebih banyak aktiviti dan pengalaman suai peranan yang boleh disertai oleh ibu bapa dan kanak-kanak.

Harapan dan Impian Masa Depan

Peserta memilih kerjaya pilihan mereka berdasarkan minat masing-masing dan menjadikan ibu bapa sebagai idola. Kebanyakan peserta ingin menjadikan guru atau doktor sebagai profesion disebabkan selalu terdedah dengan kerjaya tersebut, namun mereka juga teruja kerana dapat mencuba dan menerokai pelbagai jenis kerjaya di KidZania. Lebih 80 peratus peserta memilih kerjaya yang pernah dicuba dalam suai peranan di KidZania Kuala Lumpur seperti ahli bomba dan juruterbang. Antara kemahiran yang paling banyak dipelajari peserta adalah kerjasama (46 peratus) dan berdikari (47 peratus). Ini bertepatan dengan falsafah KidZania iaitu ‘Learn Life Today’ serta kepentingan suai peranan dalam membentuk sahsiah serta memberi galakan kepada kanak-kanak untuk menerokai minat baharu