NOOR Faizlee Mohd Hafidzal atau mesra disapa Kak P, merupakan ikon inspirasi kali ini yang penuh dengan semangat dan keazaman.

Pernah mengalami kerugian yang sangat besar apabila baharu saja menyiapkan 12 bilik chalet di sebuah pulau di Sabah dengan kos yang sangat tinggi, diduga pula apabila dirinya jatuh sakit sehingga mengubah kehidupannya selepas itu.

Pun begitu, dugaan yang ditempuhi tidak pernah meruntuhkan semangat wanita ini untuk terus pandang ke hadapan bagi meneruskan kehidupan dan perniagaannya.

Dari bidang chalet ke bisnes pisang keju

Kongsi Noor Faizlee, perubahan hidupnya bermula apabila dia mengalami jangkitan pada telinga sebelah kiri yang memerlukannya mendapatkan rawatan di hospital pada tempoh yang lama.

"Kos rawatan jangan ditanya, kerana memang banyak digunakan dengan pelbagai rawatan yang saya jalani. Habis kesemua simpanan.

"Pada masa yang sama, ketika tempoh rawatan itu, hati saya masih tidak tenang memikirkan keadaan chalet dan pakej menyelam yang baru saya mahu kembangkan.

"Puas memujuk doktor, saya akhirnya pulang ke Sabah untuk melihat perkembangan bisnes tersebut. Namun benar kata doktor, telinga yang alami masalah, mudah terkena jangkitan jika tidak dijaga dengan rapi. Saya alami pendarahan yang teruk dan disahkan terkena jangkitan kuman yang agak teruk sehingga organ dalaman telinga kiri saya habis dimakan kuman," katanya.

Berikutan itu, Noor Faizlee sekali lagi terlantar di hospital. Dek kerana tidak dapat memantau perjalanan bisnesnya di Sabah, akhirnya chaletnya terhenti begitu saja dengan kerugian yang besar.

Namun, bagi wanita yang merasakan kesihatan ada kekayaan baginya ini, tidak menjadikan dugaan perniagaan chalet itu, mematahkan semangatnya untuk bangkit semula.

Justeru, dengan hanya berbaki RM2 di dalam akaunnya dan mendapat pertolongan daripada keluarga serta rakan-rakan, Noor Faizlee memulakan sekali lagi langkah perniagaannya dengan mencuba untuk menjual pisang keju di tepi jalan berhampiran kediamannya di Subang Jaya pada 2014.

"Saya dapat idea untuk jual pisang keju kerana, ketika itu di Kuala Lumpur ini, hidangan pencuci mulut itu masih tidak popular, hanya popular di Sabah dan Indonesia saja sebelum itu.

"Jadi saya mulakan perniagaan pisang keju ini dari bawah. Perkakasan masak dan reruai, semuanya saya pinjam dengan keluarga dan rakan-rakan.

"Alhamdulillah setelah empat tahun beroperasi, dengan jenama sendiri iaitu The Pisang Cheese, kini kami miliki sembilan cawangan di beberapa lokasi," katanya.

Tambahnya, perniagaan pisang kejunya yang semakin berkembang kini, bukan hasil usahanya sendiri, tetapi kerjasama daripada rakan kongsinya iaitu Dr Sabrina Asri dan Khairun Shahdan yang punyai tugas masing-masing.

Syukur dengan apa yang ada

Akui wanita cekal ini, dia juga pernah alami kesedihan apabila dikhabarkan tidak boleh melakukan aktiviti yang disukainya sejak kecil iaitu menyelam dan apa sahaja aktiviti yang melibatkan air setelah telinganya menghadapi masalah.

"Memang ia satu cabaran. Namun disebabkan jenis saya bukan terus bersedih apa yang tiada, dan lihat serta bersyukur dengan apa yang saya ada, menjadikan saya terus berazam dan mahu terus berjaya dalam kehidupan.

"Saya sentiasa memotivasikan diri dan sokongan keluarga serta rakan yang ada di sekeliling menjadikan saya terus bangkit ke hadapan," katanya.

Selain itu, Noor Faizlee juga seorang usahawan yang bercita-cita tinggi dalam perniagaannya.

Setiap tahun, mereka punyai sasaran untuk dicapai bagi jenama pisang tersebut agar lebih dikenali.

"Jadi kini kami dalam fasa kembangkan lagi perniagaan, di samping mengadakan program keusahawanan.

"Matlamat asas kami juga untuk berkongsi rezeki dengan kumpulan yang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam perniagaan ini seterusnya memberi latihan khusus kepada mereka yang dilihat ada potensi terus berjaya.

"Selain itu, tahun ini, kami sasarkan untuk memasuki pasar raya besar dan mengembangkan cawangan ke sebelah utara tanah air," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Noor Faizlee sempat berpesan kepada wanita di luar sana agar pandai berdikari dan melakukan persediaan dari segi simpanan, agar tidak menghadapi masalah di kemudian hari.