REMAJA bawah umur yang terlanjur atau menjadi mangsa seksual semakin membimbangkan mutakhir ini.

Menceritakan semula pengalaman Hazlina Abd Razak, yang merupakan salah seorang insan yang aktif dalam aktiviti dakwah bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sosial, berdepan dengan kes dua remaja adik-beradik mengandung anak luar nikah.

Umur remaja tersebut baru 14 dan 15 tahun, tetapi keduanya sedang mengandung dan menunggu kelahiran.

Hazlina dan rakan NGO mendekati dan berbual dengan dua beradik tersebut untuk mengetahui latar belakang serta punca kejadian yang menimpa mereka itu sehingga mengandung.

"Setelah memujuk dan cuba memberi motivasi, dua beradik ini mengaku yang  melakukan perbuatan terkutuk ke atas mereka adalah atuk sendiri.

"Istighfar panjang saya ketika mendengar pengakuan dua beradik itu. Namun kejadian rogol di dalam rumah memang diakui semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, dan ia tidak berkurangan," katanya kepada Femina.

Mendengar pengakuan itu, Hazlina bersama pihak polis dan rakan NGO lain cuba pergi ke rumah remaja tersebut yang terletak jauh dari bandar Klang untuk bertemu dengan ibunya.

"Ibu mereka pula seorang ibu tunggal dan ketika kami bertemu dengannya, ditanya sama ada dia tahu kejadian yang menimpa anak remajanya itu sehingga keduanya mengandung dan sudah mahu melahirkan anak luar nikah, dia mengangguk mengaku mengetahui kejadian itu.

"Saya tanya semula, kenapa tidak laporkan perkara itu kepada pihak berkuasa agar boleh diambil tindakan terhadap atuk mereka. Apa yang dijawab ibu tersebut sangat meruntun jiwa kami. Ibu itu menyatakan, siapa akan beri mereka makan jika lapor perkara tersebut kepada polis," terang Hazlina.

Ternyata kes tersebut berlaku kerana masih ramai masyarakat tidak faham mengenai kesedaran seksual sejak dari awal lagi.

Iltizam perluaskan kesedaran seksual

Hazlina yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor berkata, berdasarkan kes tersebut, dia secara komited beriltizam untuk mencari solusi dan tindakan sewajarnya yang boleh diambil agar kejadian sedemikian tidak terus parah.

"Walaupun kita tahu, ia memang tidak boleh selesai semuanya, tetapi kita cuba tingkatkan kesedaran mengenai seksual itu agar ibu bapa dan masyarakat lebih peka terhadapnya.

"Kita tidak mahu lagi, ada remaja seawal usia 12 tahun atau belasan tahun sudah mendekati gejala buruk ini dan mereka perlu sedar sejak awal usia tentang apa yang boleh dan tidak boleh mengenai sentuhan pada mereka," katanya.

Tambahnya, dengan kewujudan rumah perlindungan remaja terlanjur juga, bukan bertujuan mengalu-alukan lagi kegiatan seperti ini, tetapi cuba menyediakan tempat berlindung bagi mereka yang pernah terlanjur atau dinodai yang mahu bertaubat kembali ke pangkal jalan.

"Jika bukan dengan usaha seperti ini, ke mana mereka yang mahu berubah ini hendak tuju. Kerana kebanyakan masyarakat di luar sana hanya memandang mereka sebagai 'sampah'. Akhirnya tanpa bantuan, mereka terus diselubungi dosa sehingga keturunan mereka juga daripada hasil dosa yang sama.

"Tetapi berbeza bagi kami pendakwah ini, di mana kami melihat mereka, boleh dijadikan baja untuk dibentuk semula menjadi manusia beriman," katanya.

Hazlina juga menyokong usaha dakwah yang dilakukan secara turun padang seperti dakwah jalanan, termasuk melalui media sosial kerana platform sedemikian lebih dekat dengan remaja dan generasi X ketika ini.