TAHUN ini, Hot Wheels meraikan ulang tahun ke-50. Sepanjang separuh abad, Hot Wheels menjadi inspirasi kanak-kanak mencabar halangan menerusi perlumbaan di atas litar jingga dengan meluncurkan kereta lumba mereka penuh bergaya.

Jelajah 50 Tahun Asia Tenggara Hot Wheels telah dilancarkan oleh Pengurus Rekaan Produk Global Hot Wheels, Dmitriy Shakhmatov.

Malaysia menjadi destinasi pertama pelancarannya yang diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, sejajar dengan penganjuran tahunan Art of Speed.

Pengurus Besar Mattel Asia Tenggara, Ivan Franco berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana Hot Wheels telah memberi keseronokan dan kegembiraan kepada peminatnya sepanjang tempoh 50 tahun ini.

"Kami percaya, cabaran perlu dihadapi secara imaginatif dan kreatif. Ia adalah tanggungjawab kami untuk memastikan manfaat nilai-nilai sebegitu dapat dirasai generasi baharu,” ujarnya.

Turut dianjurkan pertandingan reka cipta dengan meminta murid-murid berumur sembilan hingga 12 tahun sekitar Lembah Klang menghantar idea reka cipta kereta Hot Wheels terbaik mereka.