MEMAHAMI kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental ibu dan anak, Tollyjoy Corporation dengan kerjasama OrphanCARE Foundation telah menganjurkan sebuah sesi interaksi bagi ibu bapa bersempena Hari Bayi Tollyjoy 2018.

Hari tersebut dilancarkan sebagai inisiatif khas untuk menghargai si kecil dan mengiktiraf kepentingan perjalanan yang dilalui oleh ibu bapa dalam menjaga dan memberikan yang terbaik buat anak-anak mereka.

Pengurus Tollyjoy Corporation, Grace Ng berkata, sejak 1971, Hari Tollyjoy merupakan bukti bagi sokongan dan kekal komited untuk memberikan terbaik bagi menangani keperluan ibu bapa dan anak-anak mereka.

"Bagi Hari Bayi Tollyjoy 2018 ini, kami memberi tumpuan kepada kepentingan dalam memastikan kesihatan mental yang bagus bagi ibu dan bayi mereka," katanya.

Hari Bayi Tollyjoy tersebut bermula dengan sesi berkenalan dengan tetamu jemputan, diikuti dengan perbincangan menarik bersama Pakar Psikologi Klinikal di KIN & KiDS tentang cara menangani kemurungan selepas bersalin dan kepentingan kesihatan mental bayi.