SEBAGAI wanita, lumrah untuk kelihatan cantik, menarik dan sihat adalah harapan setiap daripadanya.

Namun, bukan mudah untuk menggapai hasrat itu terutama yang punyai berat badan berlebihan untuk mendapatkan kembali bentuk badan ideal. Buktinya, Hafiza Othman sebelum ini mungkin tiada yang mengenali, namun sejak bergelar top Ironman, figura ini menjadi inspirasi.

Sebelum ini, Hafiza sudah penat dengan kegemukan dialaminya sehingga pernah mencecah berat badan 106 kilogram terutama setelah melahirkan anak kedua.

Dan kini, dia yang merupakan seorang isteri dan ibu kepada dua anak, dikenali dalam dunia larian di Malaysia selain kerap menyertai acara triathlon termasuk perlumbaan terkemuka Ironman.

Perjalanan Hafiza untuk menurunkan berat badannya bermula apabila berniat niat lebih kurus untuk sihat dan mudah bergerak.

"Benar apabila berat badan kita berlebihan, nak bergerak pun sukar, dan mungkin jika tidak dibendung ia boleh menyebabkan pelbagai lagi masalah kesihatan.

"Bagi mengelak semua itu, saya mencuba pelbagai produk dan jalani rawatan, namun semuanya tidak berkesan," katanya kepada Femina.

Namun Hafiza tidak putus asa, dia berusaha pula dengan cara melakukan senaman dan larian yang dilakukan di rumah setiap pagi.

Selain itu, wanita ini juga mengikuti program satu produk berasaskan herba untuk pengurusan berat badan dan usaha itu ternyata berkesan ke atasnya.

"Dalam masa tiga bulan menjalani rutin sedemikian, berat badan saya turun 15kg. Sejak itu, keinginan untuk kelihatan lebih sihat terus berkobar-kobar dan berjinak-jinak pula mengikuti acara larian dan triathlon bermula 2013.

"Acara larian pertama yang saya sertai adalah sejauh 15km. Sejak itu, saya tidak pernah berhenti untuk berlari sehinggalah menyertai sepenuhnya Ironman Langkawi," ujarnya.

Namun untuk ke peringkat itu bukanlah sesuatu yang mudah katanya, pernah hatinya berbolak-balik sama ada, dia boleh melakukan semua aktiviti lasak itu kerana pada ketika itu, untuk menghabiskan larian dirasakan sangat perit.

“Tetapi saya tekad untuk turut sama membuktikan saya juga boleh melakukannya. Sejak itu, saya mula berlatih sambil mengambil tip-tip daripada mereka yang berpengalaman sebelum menyertai triathlon jarak Olimpik kemudian saya sertai pula acara Ironman," katanya.

Lalui pelbagai cabaran

Akui Hafiza, penyertaannya dalam bidang sukan lasak itu juga melalui banyak cabaran, antaranya adalah pandangan masyarakat.

"Ketika itu, pandangan masyarakat, sukan lasak ini tidak sesuai untuk wanita. Dan pakaian sesuai bersukan yang menutup aurat juga agak terbatas, tetapi kini sudah semakin banyak pilihan, ia memudahkan impian saya dalam sukan ini," ujarnya yang kini mempunyai berat badan 60kg.

Ditanya mengenai apa yang memberinya inspirasi untuk menyertai Ironman, Hafiza memberitahu semua penamat Ironman adalah inspirasinya.

"Saya juga bercita-cita untuk mencipta rekod menjadi wanita Muslim Malaysia pertama beraksi di perlumbaan Ironman luar negara. Secara tidak langsung terus memperbaiki pencapaian diri agar lebih baik.
 

Profil

Nama: Hafiza Othman

Umur: 34

Asal: Kuala Lumpur

Anak: 2 orang

Pekerjaan: Pramugari, sebelum ini atlet triathlon persendirian

Berat: 60kg

Tinggi: 171cm

Anugerah/ Pencapaian

1. Top 7 Ironman Malaysia Langkawi (kategori wanita) 2016

2.  Top 3 Women Pink Ultra 2015

3. Top 5 Kenyir Triathlon 2015