SETIAP ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Justeru mereka cenderung untuk memberi tumpuan kepada tahap pendidikan, pembangunan kemahiran serta aktiviti berstruktur yang berasaskan pencapaian demi pertumbuhan anak-anak mereka.

Kanak-kanak pada hari ini juga, cenderung menghabiskan sebahagian besar masa mereka di dalam rumah berbanding bermain dan belajar di luar.

Menyedari hakikat tersebut, Breeze, jenama serbuk pencuci terkemuka, mengutamakan Hari Belajar Di Luar Bilik Darjah (Outdoor Classroom Day) bagi mewujudkan persekitaran yang mesra aktiviti bermain di luar bilik darjah.

Breeze percaya bahawa aktiviti bermain di luar bilik darjah perlu menjadi sebahagian daripada aktiviti pembangunan dan pembelajaran setiap kanak-kanak.

Bermain adalah penting bagi pertumbuhan serta perkembangan kanak-kanak kerana ia melibatkan pembelajaran yang membantu dalam pembangunan kemahiran hidup yang penting dalam setiap kanak-kanak. Kemahiran yang dimaksudkan termasuklah kreativiti, kerja berpasukan, komunikasi, penyelesaian masalah dan pemikiran kritikal.

Pengarah Pemasaran Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd, Vincent Chong berkata, melalui bermain di luar bilik darjah, kanak-kanak dapat membentuk persahabatan, menguji keupayaan dan menyelesaikan masalah mereka sendiri dengan cara bermain, membolehkan mereka menikmati zaman kanak-kanak dengan penuh keriangan.

“Berada di luar dan berseronok ketika bermain, menerokai dan bergembira bersama-sama kanak-kanak yang lain adalah penting untuk perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak.

"Oleh itu menerusi kempen global, Hari Belajar Di Luar Bilik Darjah ini, kami ingin menggalakkan kanak-kanak untuk keluar dan bermain setiap hari. Ini bukan sahaja akan meningkatkan pembelajaran mereka dan menggalakkan pembangunan yang sihat, tetapi juga kanak-kanak menjadi lebih gembira,” katanya.

Sejajar dengan kempen itu juga, Breeze telah bekerjasama dengan Gobal Peace Foundation untuk menggalakkan aktiviti bermain dalam kalangan penduduk di Kampung Ulu Geroh, Perak. Kampun Ulu Geroh merupakan salah sebuah perkampungan Orang Asli terbesar yang mempunyai 800 penduduk.

 Sumbangan beri manfaat

Sebelum ini, dengan setiap pembelian bahan pencuci Breeze, RM1 telah diasingkan untuk disumbangkan bagi program seperti ini. Oleh itu, Breeze telah berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM20,000.

Kesemua sumbangan yang dikumpul kemudiannya digunakan untuk membeli peralatan sukan seperti bola sepak, sarung tangan, seluar serta jersi bola sepak, jaring, tiang serta bola sepak takraw dan raket badminton, bulu tangkis, jaring serta tiang badminton mudah alih.

Sumbangan tersebut memberi manfaat kepada 250 kanak-kanak dan remaja Kampung Ulu Geroh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Foundation, Dr Teh Su Thye berkata, sebelum ini kanak-kanak di komuniti berkenaan tidak mempunyai kemudahan untuk bermain.

"Walaupun terdapat banyak ruang, namun mereka tidak mempunyai kemudahan untuk bermain sukan kegemaran mereka seperti bola sepak, badminton dan sepak takraw. Kemudahan tersebut penting bagi menggilap bakat mereka. Kini, kanak-kanak berkenaan benar-benar dapat menikmati keseronokan bermain di luar bilik darjah.

 “Kami melihat kanak-kanak berkenaan mempunyai potensi besar untuk cemerlang dalam sukan, yang mana ia berupaya mengeratkan lagi hubungan dalam komuniti tersebut. Kanak-kanak Kampung Ulu Geroh berasa amat gembira kerana mereka kini boleh menganjurkan perlawanan persahabatan dengan remaja dari komuniti berhampiran, sekali gus akan meningkatkan keyakinan diri serta membentuk kemahiran sosial dan kepimpinan mereka,” katanya.

Sempena dengan Hari Belajar Di Luar Bilik Darjah, Breeze Malaysia akan meneruskan misinya untuk menggalakkan anak-anak Malaysia melangkah keluar dan menikmati zaman kanak-kanak mereka.

Semua ibu bapa serta pendidik disarankan agar menyertai inisiatif global berkenaan dan melakukan transformasi terhadap pengalaman pembelajaran kanak-kanak.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila kunjungi laman sesawang rasmi Hari Belajar Di Luar Bilik Darjah: www.outdoorclassroomday.com.