SEGALANYA bermula dengan tular. Itu yang berlaku ke atas produk pertama AuraWhite iaitu Collagen AuraWhite pada awal 2013, menyebabkan jenama tersebut dikenali dan jualannya terus meningkat dalam masa singkat biarpun baru di pasaran.

Bermula dengan 500 botol sahaja dikeluarkan ketika penghujung tahun 2012, dan tular awal 2013, menyebabkan permintaan diperoleh tidak dapat ditampung dengan pengeluaran produk ketika itu.

Kehangatan itu menjadikan pengasasnya yang juga Pengarah Urusan AuraWhite Global Sdn Bhd, Nurfuryna Mohd Azmeer bersama pasangannya dikenali.

Nurfuryna atau mesra disapa Furyna berkata, pada awal 2013, permintaan sangat luar biasa ke atas produk AuraWhite Collagen disebabkan promosi yang dilakukan dan penggunaan artis ketika itu sehingga menjadi tular.

"Impaknya ada pelanggan datang dengan lori untuk mendapatkan kolagen ini ketika itu. Tetapi pengeluaran tidak dapat menampung permintaan pelanggan.

"Alhamdulillah dari semasa ke semasa, kami dapat tingkatkan pengeluaran di samping menjaga kualiti untuk penuhi permintaan yang semakin lama semakin bertambah sehingga ke hari ini melebihi berjuta botol setahun," ujarnya kepada Femina.

Kini, setelah memasuki tahun ke enam jenama ini gah di pasaran, produk-produk AuraWhite telah berkembang dari hanya satu produk kepada lebih 40 produk dan terbaharu adalah pengenalan Ubat Gigi AuraWhite.

Minat sejak usia muda

Menariknya, sesuai dengan produk dihasilkan yang membantu mendapatkan kulit lebih sihat, cerah dan cantik, Furyna juga merupakan seorang wanita muda yang punyai paras rupa cantik serta sentiasa menjaga penampilannya.

Akui ibu kepada empat cahaya mata ini, minatnya dalam kecantikan ada sejak usia muda lagi, justeru selain mahu mencantikkan diri, dia menjadikan perniagaan bidang kecantikan juga salah satu minatnya.

Berkongsi mengenai minat bisnes yang berlegar dalam dunia kecantikan pula, ia bermula sejak usianya masih mentah, apabila membantu ibunya yang  merupakan seorang usahawan salon kecantikan dan butik pengantin di Ipoh Perak.

"Daripada pengalaman dan ilmu yang saya pelajari di sana dan melihat sendiri bagaimana ibu gigih mengusahakan perniagaan  daripada seluruh aspek termasuk cara melayan pelanggan serta mutu perkhidmatan yang ditawarkan telah membuatkan saya ingin melibatkan diri dalam dunia perniagaan dan kecantikan.

"Dan bermula 2009, saya berani mengambil langkah untuk membuka perniagaan sendiri bersama seorang rakan kongsi iaitu membuka spa kecantikan di bandar yang sama iaitu tempat kelahiran saya juga.

"Selepas spa dan beberapa lagi jenis perniagaan, akhirnya daya fokus pada produk suplemen kecantikan AuraWhite bermula hujung 2012," kongsinya.

Baginya, penampilan diri yang menarik mampu meningkatkan tahap keyakinan seorang wanita, begitu juga yang dilakukan sehingga kini dan mahu wanita di luar sana turut kelihatan cantik dan berkeyakinan.

Anak-anak juga keutamaan

Kesibukan sebagai usahawan, tidak membataskan ibu muda berusia 33 tahun ini, meluangkan masa bersama anak-anak dan suami selain menguruskan hal rumah tangga termasuk memasak.

"Saya mengaku yang saya minat makan dan masak sendiri. Biarpun awal pagi sudah terpacak di pejabat, tetapi saya akan pastikan sarapan, makan tengah hari dan makan malam akan saya sediakan sendiri.

"Masa dengan anak-anak juga akan saya luangkan biar sesibuk mana jadual harian saya, kerana anak-anak adalah keutamaan saya agar mereka tidak membesar tanpa kasih sayang ibu dan bapa sepatutnya.

"Jadi bila ada waktu terluang atau cuti sekolah juga, saya suka menghabiskan masa bersama mereka untuk pergi bercuti atau berehat di rumah sambil melakukan aktiviti bersama seperti melukis, karaoke, bermain dengan mereka dan bersiar-siar," ujarnya.

Paling utama katanya sebelum mengakhiri perbualan, sebagai wanita yang juga ibu, isteri dan usahawan, masa itu perlu diatur dengan sebaiknya selain sentiasa positif dengan apa dilakukan.

PROFIL

Nama: Nurfuryna Mohd Azmeer

Umur: 33 tahun

Asal: Ipoh, Perak

Anak: ke-2 daripada 3 beradik

Jawatan: Pengarah Urusan AuraWhite Global Sdn Bhd

Bil. Anak: 4 orang.

Hobi: Suka memasak

Nama suami: Datuk Saiful Sahwan