MUDAH tersenyum, ceria dan positif. Itulah pandangan pertama yang boleh diberikan kepada pemilik nama Dzuriasikim Dzulkifli, 49, ketika pertama kali bertemu dengan Femina.

Menariknya, wanita yang punyai banyak pengalaman dalam pelbagai kerjaya dan rumah tangga ini, setiap kali berkongsi status yang banyak berkisar mengenai motivasi di media sosial, pastinya status itu akan mendapat banyak 'like' dan komen yang tinggi.

Oleh itu, berkongsi mengenai dirinya, Dzuriasikim yang juga pengasas produk K' Her Mosa dan juga lebih mesra di sapa Dzuria berkata, kejayaan dan keceriaan yang diperoleh kini adalah berdasarkan pengalaman lalunya yang pernah dibelenggu masalah rumah tangga.

"Saya memang pernah lalui keruntuhan rumah tangga, namun ia bukanlah penghalang untuk saya terus dibelenggu dengan sejarah itu. Kerana anak-anak dan masa depan diri, saya berani untuk keluar daripada masalah itu seterusnya membina kehidupan baharu.

"Inilah yang saya sering kongsikan kepada wanita di luar sana agar bangun dan usah bersedih jika berada sama seperti situasi saya dahulu. Jangan kerana kegagalan itu, anak-anak terabai. Kerana mereka perlukan motivasi dan sokongan untuk terus melangkah menuju ke masa hadapan yang masih panjang," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

20 tahun bertahan dalam hubungan perkahwinan yang penuh dengan dugaan serta kesakitan, akhirnya pada usia 41 tahun, dia mengambil keputusan untuk bercerai.

Langkah itu tidak sesekali mematahkan semangatnya kerana dia sentiasa percaya percaturan ALLAH itu sangat cantik perjalanannya. Biarpun ketika perkahwinannya, dia mengutip pengalaman yang banyak dalam pelbagai kerjaya.

Antaranya pernah bekerja di bahagian sumber manusia, kemudian beralih pula kepada syarikat swasta seperti MBF Management Sdn Bhd, The Kuala Lumpur Options and Financial Futures Exchange (KLOFFE) seterusnya bertukar lagi kerjaya sebagai perunding di KPMG, di mana dia satu-satunya ketika itu perunding wanita Melayu yang diberikan kepercayaan.

Namun, di sebalik kejayaan itu, dia berhadapan dengan sisi tekanan dalam rumah tangga sehingga memaksanya berhenti kerja dan fokus pada anak-anak serta rumah tangga.

Bangkit kerana anak

Setelah bercerai, Dzuria yang memiliki lima anak, cuba bangun kembali dan berdikari untuk membesarkan kesemua anaknya demi mencari sesuap nasi.

Akhirnya Dzuria ditemukan dengan syarikat penerbangan sewa khas dan memegang jawatan sebagai penolong naib presiden jualan dan pemasaran projek khas syarikat penerbangan itu.

"Saya akui memang langsung tiada pengalaman mengenai dunia penerbangan ketika itu, namun kerana saya seorang yang cepat belajar, maka dalam masa beberapa bulan, saya dapat kuasainya.

"Baru sahaja selesa dengan kerjaya itu, ia terpaksa ditutup setelah lima tahun beroperasi kerana masalah ekonomi. Menyebabkan sekali lagi saya akan berhenti kerja," katanya.

Pun begitu, belajar daripada pengalaman, sebelum melepaskan jawatannya, Dzuria yang juga meminati bidang kecantikan telah mengatur masa depannya dengan menceburi bidang kecantikan untuk menghasilkan produk sendiri.

"Bermula Mac tahun lalu, saya berjaya hasilkan produk penjagaan kulit sendiri iaitu K'Her Mosa. Produk ini dihasilkan melalui kajian terperinci dan mendapatkan pandangan pakar.

"Kini produk jenama ini punyai lima jenis semuanya dan jualannya semakin memberangsangkan. Insya-ALLAH dalam masa terdekat akan ada lagi rangkaian produk segmen kosmetik diperkenalkan," katanya.

Dalam kesibukan menguruskan produk dan bekerja sampingan sebagai perunding syarikat penerbangan, Dzuria masih berkongsi dengan wanita cara untuk bangkit dan mencipta kejayaan.

....................

PROFIL

Nama: Dzuriasikim Dzulkifli

Umur: 49

Asal: Kuantan

Anak; Sulung daripada enam beradik

Bil. anak: 5 orang.

 

TIP BERJAYA

- Jangan malu mencuba

- Berfikiran positif

- Rajin belajar, cekal dan sabar

- Marah bukan penyelesaian