SEMPENA menyebarkan kebaikan susu, Dutch Lady Malaysia meraikan Hari Susu Sedunia tahun ini dengan menyediakan 10,000 pek susu kepada murid-murid sekolah rendah.

Acara sambutan diadakan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Onn Jaafar, Subang Jaya, baru-baru ini di mana trak-trak susu Dutch Lady telah dilancarkan dengan rasmi untuk menghantar susu Dutch Lady yang penuh nutrisi ke sekolah-sekolah.                      

Bercakap semasa majlis pelepasan, Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Tarang Gupta berkata, bahawa tahun 2018 menandakan ulang tahun ke-55 syarikat Dutch Lady dalam membekalkan nutrisi yang berkualiti kepada rakyat Malaysia.

“Misi kami sepanjang 55 tahun yang lalu adalah untuk membekalkan nutrisi kepada negara ini. Beberapa generasi rakyat Malaysia telah membesar dengan susu Dutch Lady sepanjang tempoh ini dan mereka kemudiannya memilih jenama kami untuk diberikan kepada anak-anak mereka. Ini telah memberikan kami motivasi yang lebih tinggi untuk membekalkan warga Malaysia dengan nutrisi yang lebih baik yang boleh diperoleh daripada susu,” katanya.

Beliau seterusnya menambah bahawa Hari Susu Sedunia merupakan sambutan yang sangat penting untuk Dutch Lady Malaysia kerana ia meraikan sumbangan penting sektor tenusu terhadap kemapanan, pembangunan ekonomi, kehidupan dan pemakanan. Tetapi yang lebih penting lagi adalah sambutan ini meraikan kepentingan susu sebagai sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang.