SEIRING dengan tema Hari Wanita Sedunia 2018: #PressForProgress, Skin Valet Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab sosial pertama mereka dalam membanteras eksploitasi terhadap wanita dalam industri kecantikan melalui sebuah kempen digital.

#LawaGembira telah dipilih sebagai slogan kempen kerana ia menerangkan secara jelas bahawa kecantikan harus hadir bersama kegembiraan dan bukan kecantikan semata-mata.  

Stereotaip negatif tentang kecantikan

Menurut kajian, terdapat banyak jenama yang menggunakan gimik pemasaran stereotaip negatif tentang ‘gambaran kecantikan yang sebenar’ dan kajian telah membuktikan taktik pemasaran itu telah memberi kesan negatif terhadap masyarakat terutamanya golongan wanita yang masih muda.

Justeru, dengan kuasa sebagai sebuah jenama, Skin Valet telah melaksanakan usaha kecil untuk membanteras tindakan yang tidak wajar itu dan salah satu program dijalankan seperti kempen #LawaGembira yang telah secara rasmi dilancarkan oleh Isteri Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Puspanita Selangor, Masdiana Muhamad baru-baru ini.

Pengasas Bersama Skin Valet, Narqes Mohd Remi berkata, sebagai pemain industri kecantikan, mereka berasa bertanggungjawab untuk mendidik pelanggannya mengenai isu tersebut dan bukannya mengeksploitasi hanya demi pemasaran.

"#LawaGembira dipilih sebagai slogan kempen kerana ia menerangkan dengan jelas bagaimana kecantikan harus bersatu dengan kegembiraan dan bukan sebagai perkara yang tersendiri.

"Kempen ini bertujuan mempromosikan pandangan yang menghormati keindahan, terutama dalam kalangan pengguna media sosial," katanya kepada Femina.

Lebih parah kongsi Narqes, kesan iklan yang merendahkan wanita, menyebabkan seseorang wanita yang sedang alami masalah kulit atau berkulit gelap berasa tertekan seterusnya mencari produk salah untuk kelihatan lebih cantik serta putih berdasarkan iklan dilihat.

"Iklan sedemikian perlu dielakkan bagi mengelak masyarakat terutama generasi muda terus salah anggap mengenai kecantikan. Sebenarnya cantik itu dalam versi sendiri," katanya.

Kekang bersama-sama

Bagi mengelak perkara sedemikian terus menjadi kebiasaan dalam masyarakat, maka Skin Valet mengambil langkah awal sebagai salah satu perintis dalam kalangan jenama tempatan untuk mewujudkan kesedaran mengenai isu ini dan pada masa sama mendidik orang ramai tentang bahaya membiarkan iklan digital sedemikian kepada generasi akan datang.

Dr Ismaliza Ismail yang juga Pengasas Bersama Skin Valet pula berkata, mungkin dengan usaha yang dilakukan itu, akan menjadi ikutan pemain industri sama untuk perjuangkan perkara ini dan tidak lagi menggunakan wanita sebagai bahan iklan negatif untuk melariskan produk.

"Terdapat banyak bahan promosi yang menggambarkan stereotaip negatif 'keindahan apa yang sepatutnya kelihatan' dan kajian telah membuktikan bahan sedemikian mewujudkan kesan negatif kepada masyarakat terutama anak perempuan kita.

"Kerjasama semua pihak seperti kerajaan, ibu bapa, diri wanita itu sendiri, pemilik produk dan syarikat pengiklan perlu lebih peka dengan isu ini agar masyarakat yakin dengan kecantikan dimiliki asal sihat dan gembira berbanding menggunakan produk salah untuk kelihatan cantik seperti diiklankan," katanya.

#LawaGembira adalah kempen yang harus diperjuangkan di zaman ini. Kerana terdapat banyak iklan kecantikan yang tidak beretika yang secara tidak langsung mengeksploitasi wanita dengan mesej stereotaip kecantikan hanya untuk menjual produk mereka. Akhirnya mendatangkan kesan buruk pada diri sendiri.