NAMA Dr Harlina mungkin sudah tidak asing lagi sebagai figura yang disegani di negara ini terutama mereka yang mengikuti dunia perubatan berkaitan perbidanan dan wanita serta kerja sukarelawan yang dilakukan bagi menyuarakanpembelaan hak-hak wanita.

Menyelusuri sedikit latar belakangnya, Dr Harlina atau nama sebenarnya Profesor Dr Harlina Halizah Siraj dilahirkan pada 1 Jun 1966 di Sungai Besar, Selangor dan merupakan anak keenam kepada pasangan Siraj @ Ramli dan Siti Ramlah Anuar yang mempunyai lapan orang anak.

Sejak dari kecil lagi, Dr Harlina mengakui yang cita-citanya ingin menjadi doktor atau pendidik. Ternyata kini berkat usahanya dan doa kedua ibu bapanya, dua bidang itu telah diceburinya.

"Ketika umur saya 15 tahun dan mula mencari matlamat hidup, saya bercita-cita untuk menjadi hamba ALLAH yang sentiasa mengabdikan diri kepada-Nya, termasuk setiap hembusan dan hirupan udara setiap hari mahu ia dikira sebagai ibadat.

"Jadi saya pastikan kerjaya saya nanti dikira sebagai fardu kifayah dan diperlukan oleh umat ketika itu. Maka saya lihat bidang perubatan sebagai salah satu kerjaya ke arah itu," ujarnya kepada Femina.

Berbeza dengan pelajar perubatan ketika itu yang masing-masing memilih untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang tersebut, Dr Harlina tekad untuk menyambung pengajian di dalam negara sahaja.

"Oleh kerana saya mahu bekerja dan berbakti di dalam negara, saya memilih belajar perubatan di institusi tempatan sahaja. Ketika itu ada tiga pilihan institusi yang tawarkan kursus perubatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi pilihan saya.

"Falsafah UKM yang menekankan paduan ilmu dengan iman sungguh menjentik hati saya untuk belajar di sana, sehinggalah berjaya bergelar doktor dan memohon untuk menjadi pendidik di universiti sama dalam bidang perubatan," katanya.

Kepakaran Dr Harlina dalam bidang perbidanan obstetriks dan ginekologi (O&G) juga bermula setelah beliau mengetahui kerjaya doktor punyai pelbagai pengkhususan.

"Mula-mula cita-cita nak jadi doktor sahaja, tetapi bila tahu doktor juga ada pengkhususan, saya buat keputusan mahu menjadi pakar O&G yang ketika itu jarang diceburi oleh doktor wanita," katanya.

Fokus kerja mendidik dan sukarelawan

Selain menjadi doktor perubatan, kongsi ibu kepada empat cahaya mata ini, seseorang itu juga perlu miliki akhlak yang baik, kemahiran komunikasi, keprihatinan tinggi, pengorbanan dan sentiasa mengambil berat tentang orang lain untuk menjadi seorang doktor yang baik.

Justeru, dengan sikap yang ditekankan itu, menjadikan Dr Harlina sebagai seorang pakar O&G yang sangat berdedikasi, pensyarah yang rapat dengan pelajar-pelajarnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seorang aktivis dakwah dan kemanusiaan yang sangat komited.

Kini Dr Harlina menjadi Penolong Dekan (Pengajaran & Citra) di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pakar perunding O&G di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM) Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Dr Harlina yang pernah menerima Anugerah Saidatina Khadijah sempena Maulidur Rasul 1432 Hijrah Peringkat Negeri Selangor ini juga, mengembangkan lagi kemahirannya untuk menjadi pendidik klinikal dengan melanjutkan pelajaran ke University of Melbourne dan berjaya memperolehi ijazah Master of Clinical Education pada tahun lepas.

Baginya, memberikan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain adalah salah satu amalan yang akan berlanjutan pahalanya apabila meninggal dunia kelak, selain dari sedekah jariah dan doa anak soleh.

"Jadi untuk persediaan menghadapi persaraan daripada perkhidmatan awam, saya sudah punyai matlamat yang mahu digapai iaitu dalam kerjaya kedua saya iaitu sukarelawan dan aktivis pembangunan masyarakat.

"Saya berdoa memohon agar perjalanan hidup saya akan terus positif dan memberikan faedah kepada semua," katanya sebagai kesimpulan.

Jawatan pernah disandang dalam NGO

Penaung, Muslimah Interest Zone & Networking (Mizan) sejak 2014.

Ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN) Ikram (2010-2014, 2014-2018, 2018-2022)

Naib Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (1999-2010)

Ahli Majlis Panel Dakwah Majlis Perundingan Islam, Jakim (2008 – 2012)

Ahli Jemaah Pemikir Majlis Perunding Wanita Islam (2004-2009)

Exco Persatuan Perubatan Islam Malaysia (1999-2001).