BAGI anak-anak yang berusia enam tahun ke atas dan sudah mula berlatih berpuasa, mereka pasti tidak sabar meraikan hari yang ‘boleh-makan-pada-siang-hari’ iaitu hari raya.

Ia akan menjadi memori indah sepanjang mereka membesar nanti. Pastinya kita sebagai ibu bapa tidak mahu mencalarkan emosi mereka dengan sebarang kejadian yang menyebabkan kemarahan atau kekecewaan terutama apabila kita menziarahi kaum keluarga atau sahabat handai di rumah terbuka.

Kata kuncinya ialah bersedia. Beberapa persiapan di bawah boleh dilakukan sebagai persiapan mendidik adab berhari-raya untuk anak kecil yang dikongsi oleh Pengasas Lunatots, Suraya Ali.

1 Bercerita sejak Ramadan

Anak-anak sangat suka mendengar cerita. Contohnya selepas solat Maghrib, ceritakan kisah Rasulullah yang menziarahi kaum keluarga kerana ALLAH suka. Ringkaskan bahawa setiap kali Muslim bersalaman dan bercakap serta bertanya khabar, malaikat akan tandakan markah atau ganjaran yang boleh dikumpul untuk ke syurga.

Jadi selepas Ramadan berlalu, keluarga kita akan melawat rumah saudara mara dan juga kawan sekerja ayah atau ibu bagi menambahkan ganjaran untuk sekeluarga ke syurga. Sama seperti apa yang Rasulullah lakukan dahulu.

Seawal anak kecil mengenal Tuhan dan matlamat membuat kebaikan, mereka akan mula belajar untuk memahami.

2 Berikan jangka waktu

Ini satu janji yang perlu ditepati. Ibu bapa boleh menjangkakan berapa lama yang akan diluangkan di sesebuah rumah. Pesan awal-awal kepada anak, berapa lama berziarah di sesebuah rumah.

Jika ada lebih dari sebuah rumah, beritahu juga anggaran jumlah rumah yang akan dilawati. Mereka juga perlu tahu ke mana kita akan pergi sebagaimana kita menghormati orang dewasa seperti pasangan kita.

Jika kita perlukan masa lebih, beritahu mereka juga. Namun kalau boleh, patuhlah dengan masa yang telah dipersetujui bersama. Jangan sampai anak-anak perlu ajak kita balik kerana mereka sudah bosan bila kita terlalu lama.

3 Beritahu apa aktiviti yang bakal berlaku

Anak-anak belum  mempunyai skop pengalaman yang luas seperti orang dewasa. Beritahunya “Kita akan pergi ke rumah kawan mama. Di sana mungkin ada anak-anak kecil iaitu anak kawan mama. Kita akan beratur ambil makanan, makan dan kemudian mama dan papa akan berbual dengan kawan-kawan yang ada. Selepas itu, kita pulang.”

Jika kita tidak tahu apa yang akan berlaku, pesan apa yang kita boleh agak. “Mama tidak pasti bagaimana keadaannya di sana tapi kita akan senyum dan bersalaman dengan semua orang ya, terutama orang dewasa sebab kita nak raikan dan hormati semua orang”

4 Jangan membebel dan terus kepada tiga point utama

Anak-anak tidak dapat mengingat kesemua nasihat kita dalam satu masa. Berikan tiga perkara yang perlu lakukan semasa berhari raya di rumah saudara-mara nanti.

Contohnya “Ingat mama pesan tadi tentang tiga perkara.

Satu - Jangan berlari, kita berjalan perlahan-lahan.

Kedua - Jangan bergaduh dengan adik-beradik atau orang lain. Jika mula ada yang nak bergaduh, berundur dan pergi tempat lain.

Ketiga - Jangan menjerit kerana semua orang sedang berbual dan kita akan ganggu orang kan?

Ulang semua dengan ayat yang pendek agar dapat anak-anak ulang sebut, pengulangan adalah cara mengingat yang paling cepat untuk anak-anak.

5 Minta mereka bawa buku sendiri

Biasakan anak-anak untuk tahu tentang membuat aktiviti sendiri. Contohnya bawa buku lakar (sketch pad), buku komik atau buku pelekat yang dapat mereka buat semasa kita berhari raya sekiranya tiada anak-anak lain di sana.

Jika ada anak-anak kecil yang lain, masa mereka akan terisi.

Namun jika tiada, mereka boleh buat aktiviti sendiri. Seorang anak boleh bawa beg mereka sendiri yang mengandungi buku, air dan sedikit makanan seperti buah dan biskut.

Elakkan bawa permainan kerana mungkin akan tertinggal dan menyepahkan rumah tuan rumah.

Jom kita jadikan aktiviti berhari raya bersama saudara mara dan sahabat handai ini sebagai suatu aktiviti keluarga yang tidak memberikan tekanan kepada kedua-dua ibu bapa dan juga anak-anak.