SYARIKAT farmaseutikal terkemuka menerima Anugerah “Syarikat Farmaseutikal Terbaik (Produk Generik)” dan “Syarikat Farmaseutikal Halal Terbaik”

CCM Duopharma Biotech Berhad (CCM Duopharma) baru-baru ini menerima anugerah “Syarikat Farmaseutikal Terbaik (Produk Generik)” dan “Syarikat Farmaseutikal Halal Terbaik” di Anugerah Kecemerlangan Frost & Sullivan Malaysia 2018, membuktikan komitmen syarikat untuk membangunkan produk kelas satu dalam usaha memenuhi keperluan kesihatan dan kesejahteraan pengguna.

Pencapaian terbaru CCM Duopharma menandakan kejayaan kali ketiga syarikat menerima anugerah “Syarikat Farmaseutikal Terbaik (Produk Generik)” dan kali kedua menerima “Syarikat Farmaseutikal Halal Terbaik” di Anugerah Kecemerlangan Frost & Sullivan Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan CCM Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, mereka berbesar hati untuk menerima pengiktirafan berprestij daripada Anugerah Kecemerlangan Frost & Sullivan Malaysia dan mendedikasikan anugerah itu kepada kakitangan CCM Duopharma yang telah bekerja keras untuk mencapai kejayaan tersebut.

“Kami benar-benar bersyukur dan gembira dengan pencapaian kami dan tidak akan dapat melakukan semua ini tanpa usaha kakitangan dan juga sokongan tidak berbelah bagi pengguna kami yang meyakini CCM Duopharma untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan masing-masing.

"Pengiktirafan ini telah mengukuhkan komitmen kami untuk terus membekalkan produk farmaseutikal berkualiti bagi memenuhi dan mengatasi jangkaan pelanggan,” kata Leonard Ariff