PEMAKANAN yang baik adalah penting untuk memastikan fizikal dan mental kanak-kanak serta remaja berkembang secara sihat dan menyeluruh. Namun, pelaksanaannya mungkin agak sukar di negara yang mempunyai kepelbagaian jenis makanan seperti Malaysia.

Ketua Program Nutrisi dengan Kesejahteraan di Universiti UCSI Kuala Lumpur, Dr Satvinder Kaur berkata, terdapat 'beban berganda' kekurangan zat makanan yang dihadapi oleh kanak-kanak di Malaysia.

"Kanak-kanak di negara ini berdepan dengan masalah sama ada kekurangan nutrisi ataupun berlebihan, dengan sekurang-kurangnya 11.9 peratus kanak-kanak Malaysia diklasifikasikan sebagai obesiti dan 13 peratus merupakan kanak-kanak yang tidak mempunyai berat badan yang mencukupi pada tahun 2015," katanya pada program Joy Schools anjuran Mondelez International, baru-baru ini.

Sekiranya anak-anak ini sentiasa terdedah kepada makanan ringan yang tidak sihat di rumah, mereka mungkin akan mengaitkan makanan ringan ini sebagai 'makanan keselesaan' dan tidak mahu mencapai alternatif yang lebih sihat seperti buah-buahan.

Empat perkara mudah, boleh dilakukan ibu bapa untuk membuat keseronokan makan yang sihat:

1 Ajar bahawa sayur-sayuran adalah lazat

Ibu bapa digalakkan memasukkan sayur-sayuran ke dalam makanan yang disediakan untuk menarik minat kanak-kanak, sambil perlu menerangkan bahawa sayur- sayuran boleh menjadi enak untuk dinikmati dengan rasanya yang tersendiri.

Program Garden-to-Table yang merupakan sebahagian daripada program Joy Schools memberi pendidikan kepada kanak-kanak cara yang mudah untuk mendapatkan bahan-bahan yang segar melalui sistem tanaman Joy Garden (kebun sayur berkonsep tanaman mudah) di sekolah mereka.

Kanak-kanak juga mungkin lebih berminat untuk memakan buah-buahan dan sayur-sayuran jika ia dipotong atau dihidangkan dalam corak- corak yang lain untuk memberikan ruang ibu bapa meningkatkan kreativiti mereka.

Selain itu, pastikan anak-anak tidak terganggu semasa makan dengan memberi alatan media atau gajet.

2 Mengajar mereka tentang kawalan pengambilan makanan

Gunakan konsep pinggan kesihatan iaitu ‘suku, suku, separuh’. Kanak-kanak harus mempratikkan mengambil makanan di atas pinggan mengikut pembahagiannya iaitu seperempat beras, seperempat makanan berasaskan protein (ayam, telur, ikan, kekacang) dan separuh pinggan yang terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

Cara lain yang boleh dipertimbangkan ialah dengan membeli peralatan makanan yang menarik dan mesra kanak-kanak yang membolehkan mereka bermain dengan makanan dan mengajar untuk menyediakan makanan mereka sendiri.

Salah satu bahagian dalam program Joy Schools juga iaitu ‘Pendidikan Nutrisi’ bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pemakanan dengan menanamkan kepada pelajar tentang kebiasaan pemakanan sihat dan pemilihan makanan yang seimbang.

3 Penyediaan makanan kegemaran tempatan versi sihat

Anda tidak perlu berhenti menghidangkan nasi goreng atau nasi lemak! Dengan mengurangkan penggunaan minyak, garam dan gula, anda boleh membuat sesuatu makanan itu menjadi lebih sihat.

Melalui pelaksanaan program Joy Schools yang diadakan di SK Kampung Jawa baru-baru ini, menu kantin telah dirombak dengan memasukkan menu hidangan yang lebih sihat dan bervariasi untuk kanak-kanak.

Bagi anak–anak yang terdedah kepada pemakanan apabila di luar rumah, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mereka mengawal pemakanan apabila keluar dari rumah dan menggalakkan untuk memilih alternatif yang lebih sihat.

4 Sesuaikan rancangan pemakanan selaras dengan umur

Apabila umur anak-anak meningkat, pilihan dan keperluan pemakanan mereka juga turut berubah. Plan pemakanan yang baik harus mempunyai keseimbangan nutrisi, mudah didapati dan cukup dengan kesesuaian pilihan anak-anak pada masa itu. Melengkapi dapur dengan makanan ringan yang mudah dicapai seperti bar granola juga menggalakkan anak-anak untuk mendapatkan 'makanan keselesaan' yang lebih sihat.

Dalam menyediakan makanan, khususnya kepada anak-anak yang lebih muda, ibu bapa bertanggungjawab untuk mengajar anak mereka kepentingan makan pada waktu yang ditetapkan