BERMULA dengan niat hanya mahu bekerja sekejap sahaja di restoran makanan segera McDonald's sambil menunggu panggilan kerja yang lebih baik setelah berhenti daripada menjadi pembantu kepada seorang doktor, menjadi titik permulaan bagi Aszalina Mat Sah, menjadikan bidang tersebut sebagai kerjayanya sehingga kini.

Dia yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik juga memulakan kerja di restoran tersebut bagi menjana pendapatan untuk ringankan bebanan keluarga sebelum menunggu peluang kerja lebih terjamin.

Nyata segala jerih payah yang dilalui bermula dari bawah sehingga berjaya menerima Anugerah tertinggi peringkat global bagi jenama makanan segera itu iaitu Anugerah Ray Kroc, merupakan bukti wanita ini ada keistimewaan tersendiri sehingga berjaya terpilih antara berjuta kakitangan McDonald's untuk menerima anugerah tersebut bagi tahun 2017 baru-baru ini.

Berkongsi mengenai kisah kejayaannya, Aszalina berkata, dia bermula dari bawah dan merupakan anak dari keluarga biasa yang dibesarkan oleh ibunya seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai operator kilang sahaja.

"Belajar pula, sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemudian berhenti, kerana saya mahu bantu ibu memberi pendidikan lebih tinggi pada adik-adik.

"Setelah tamat SPM, saya mengambil kursus pendek kejururawatan kerana memang minat saya dalam kerjaya itu awalnya. Kemudian bekerja dengan seorang doktor, dan apabila doktor tersebut ditukarkan ke hospital, saya terpaksa berhenti dan mencari pekerjaan baharu.

"Kebetulan sebuah cawangan McDonald's di Gombak baharu dibuka pada penghujung tahun 1997, ketika itulah segalanya bermula bagi saya yang awalnya hanya mahu bekerja sementara di sana sebagai jurujual," ujarnya.

Namun segalanya berubah bagi Aszalina yang ketika itu berumur 23 tahun apabila, timbul keseronokan dan keselesaan dengan persekitaran pekerjaan di bahagian tersebut.

"Bermula sebagai jurujual kaunter hadapan, saya beralih pula ke jawatan pengurus bahagian, kemudian naik lagi jawatan sehingga yang terkini adalah Pengurus Cawangan Restoran (RGM) Cawangan Emerald, Rawang.

"Menariknya biarpun dari peringkat bawah, McDonald's sentiasa memberi latihan serta cabaran untuk stafnya memajukan diri untuk lebih berjaya.

"Daripada ujian dan cabaran yang dijalankan, semua saya sertai dan alhamdulillah semua dapat dilalui dengan mudah biarpun saya akui cabaran untuk sampai ke jawatan terkini memang banyak telah lalui," katanya.

Ray Kroc sebagai pembakar semangat

Ditanya perihal kejayaannya terpilih menerima anugerah peringkat global Ray Kroc 2017, Aszalina berkata, ia sesuatu yang tidak disangka selama ini.

"Saya jenis niat hanya mahu kerja dengan baik dan tidak pernah mimpi untuk terima apa-apa anugerah. Tetapi alhamdulillah mungkin rezeki saya, pelbagai anugerah tertinggi baik dalam negara dan luar negara pernah saya peroleh untuk jenama restoran makanan ringan ini.

"Bila dapat anugerah peringkat global ini, ia menjadi pembakar semangat kepada saya dan di harap pembakar semangat juga kepada yang lain untuk terus melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh," katanya penuh harapan.

Berkongsi juga cara pengurusannya yang berjaya membawa staf pengurusan bawahannya serta restorannya mencatat rekod terbaik dan peningkatan jualan pada setiap penggal sehingga mengangkat dia menerima anugerah tersebut, Aszalina berkata, segalanya atas sokongan dan dorongan keluarga, ibu dan kumpulan pengurusannya.

Tip berjaya

- Jadi diri sendiri, jangan mahu jadi apa orang cakap

- Sabar

- Doa daripada ibu dan keluarga

- Kerjasama kumpulan yang bantu dari belakang.

Info Anugerah Ray Kroc

- Anugerah sempena nama pengasas McDonald's, Ray Kroc.

- Penghargaan kepada kakitangan yang banyak menyumbang kepada kejayaan jenama McDonald’s sehingga hari ini.

- Diadakan setiap tahun (Bermula tahun ini, diadakan dua tahun sekali).

- Penerima anugerah ini merupakan antara sejumlah satu peratus kakitangan terpilih di peringkat global yang telah berjaya menunjukkan prestasi cemerlang, sekali gus meningkatkan lagi jenama McDonald’s di persada dunia.