Berdasarkan kisah benar

Ani (bukan nama sebenar) kini bergelar nenek berusia setengah abad. Dia pernah terlanjur pada zaman remaja, ketika umurnya 15 tahun. Keadaan itu memaksanya mengambil keputusan lari dari rumah dan menjadi penghuni lorong-lorong hitam untuk meneruskan kehidupan.

Dunia hitamnya tidak terhenti di situ apabila anak yang dikandung Ani hasil ketelanjuran, tinggal bersama dan turut bekerja di lorong hitam itu sehingga memperoleh pula anak daripada hasil ketelanjuran demi mencari sumber kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Begitulah perjalanan hidup Ani dan anaknya. Mereka tersasar jauh apabila salah langkah memilih keseronokan hidup, dipandang hina dan terusan bergelumang dengan dosa.

Pun begitu, dalam belenggu hidup demikian, terjentik rasa dalam diri Ani untuk bertaubat dan mahu memperbaiki diri sebelum pergi menghadap Ilahi.

Ini bukan kisah Ani sahaja, ada ramai lagi remaja dan wanita terlanjur di luar sana yang mulanya atas dasar suka sama suka atau dinodai, mahu berlindung dan bertaubat dengan dosa yang telah dilakukan.

Tetapi ada antara mereka malu, dan tidak tahu, saluran mana perlu mereka tuju untuk meneruskan hasrat tersebut, sehingga bertahun-tahun masih terbelenggu dengan dunia penuh dosa sehingga beranak-pinak hasil hubungan yang tidak halal dan ada yang sehingga sanggup membuang bayi.

Cuba beri bimbingan dan didikan

Meneliti kes di atas, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor, Hazlina Abd Razak berkata, penubuhan rumah perlindungan seperti apa yang dilakukannya bukan bertujuan melindungi mereka yang telah melakukan kesalahan dan akan menggalakkan lagi yang lain melakukan ketelanjuran sama.

Tetapi menurutnya, ia sebagai lokasi perlindungan bagi wanita bermasalah dan mengandung anak luar nikah apabila dipinggirkan oleh keluarga dan saudara mara serta mengelak banyak kes pembuangan dan pembunuhan bayi berlaku.

"Rumah ini berperanan memberi perlindungan dan tempat tinggal sementara kepada remaja-remaja wanita bermasalah yang berumur antara 12 hingga 50 tahun.

“Mereka yang tinggal di sini akan diberikan didikan dan bimbingan agama dalam tempoh satu tahun setengah sehingga dua tahun dengan harapan ilmu tersebut akan memandu kehidupan mereka ke arah jalan yang benar.

“Dalam masa yang sama pelatih juga akan didedahkan dengan latihan dan kemahiran seperti menjahit dan memasak supaya mereka dapat memanfaatkan ilmu itu selepas keluar dari pusat tersebut,” katanya yang ditemui di rumah perlindungan itu, baru-baru ini.

Tambahnya, bukan sahaja wanita atau remaja yang terlanjur menghuni rumah perlindungan itu, wanita yang menjadi mangsa dera atau mualaf juga ada.

"Kita sediakan mereka peluang kedua untuk bertaubat, ketiga untuk mereka kembali menjadi manusia baru dan mengenal sesuatu atau saya selalu sebut daripada sampah menjadi baja, dan akhirnya sematkan semangat al-Quran dan Islam dalam diri mereka," ujarnya.

Kongsinya juga, jika tidak tertubuh pusat-pusat perlindungan seperti yang dilakukannya sejak 10 tahun lalu ini, ke mana arah tujuan mereka yang pernah lakukan dosa atau bergelumang dengan pelbagai masalah untuk mengadu dan mendapatkan keadilan serta bertaubat.

"Daripada permasalahan yang sedemikian, sebagai manusia, saya terfikir perlu untuk mereka itu dilindungi dan diberi sokongan semula untuk kembali ke jalan benar dengan adanya rumah khas yang memberi perlindungan dan secara tidak langsung, kembalikan semula rohani mereka untuk berubah," ujarnya.