SEBAGAI ibu bapa yang memiliki anak kurang upaya (OKU), ada antara mereka punyai keinginan untuk melihat anak membesar dan mendapat pendidikan seperti kanak-kanak normal lain.

Bukan sahaja dari segi akademik dan kokurikulum serta hal duniawi, tetapi dari sudut pendidikan agama dan kerohanian juga, ibu bapa ini mahu perkara yang sama diberikan kepada anak istimewa tersebut.

Namun, keterbatasan yang dihadapi oleh anak-anak OKU ini terutama yang mengalami autism, memberi had kepada mereka untuk mengimpikan perkara sama apa yang kanak-kanak normal dapat.

Pun begitu, sebenarnya ada pelbagai cara terkini yang membolehkan anak-anak istimewa itu mendapat pendidikan dan cara pembelajaran khas untuk membawa mereka lebih berdikari atau mendapat pendidikan semampunya.

Tidak kurang juga yang mahu memberikan didikan agama untuk pandai solat, mengaji dan berbahasa Arab dengan teknik yang sesuai.

Norman sedia kelas mengaji di rumah

Bagi salah seorang tenaga pengajar kelas mengaji untuk golongan OKU, Norman Ibrahim, 40, dia punyai cara tersendiri untuk mendekati kanak-kanak istimewa itu supaya pandai mengaji.

Berpengalaman setahun lebih mengajar mengaji untuk kanak-kanak istimewa tersebut di rumah masing-masing merupakan satu usahanya membantu ibu bapa kanak-kanak ini yang juga mahukan anak mereka diberi didikan agama secara khas agar tidak ketinggalan.

Menurutnya, langkah pertama, dia perlu dekati terlebih dahulu perilaku atau perangai pelajarnya.

"Jika kanak-kanak itu suka menyanyi atau menari, saya akan ikut rentak mereka, nyanyi bersama dan menari juga. Perbuatan itu akan menarik perhatian pelajar tersebut untuk mesra dengan kita.

"Kita tahu, kanak-kanak OKU ini terutama yang alami autism, mereka ada keterbatasan yang dihadapi sejak dari lahir, oleh itu, saya perlu faham mereka dahulu dan jangan terlalu memaksa," ujarnya ketika berkongsi pengalaman itu ketika ditemui baru-baru ini.

Apabila sudah nampak keselesaan pada pelajar tersebut, baru Norman akan memulakan sesi pengajaran mengaji yang asas secara berperingkat dan teknik berbeza bergantung pada masalah dan perwatakan pelajar itu.

"Ada antara mereka, jenis yang tidak boleh duduk diam, tangan sentiasa bergerak, dan mata memang tidak akan pandang kita ketika bercakap dengan mereka.

"Oleh itu, apa yang saya lakukan untuk mereka ikut apa saya ajar adalah teknik gerakan tangan merujuk pada huruf-huruf hijaiyah tersebut dan ulang beberapa kali, agar pelajar itu ikut," katanya.

Memang pelajar istimewa seperti mereka, tidak akan menyebut perkataan itu dengan jelas, namun sebagai pengajar sebutan atau irama yang keluar dari mulut mereka apabila menyebut huruf-huruf yang diajar, sudah memadai.

"Selalunya, untuk kanak-kanak seperti ini menghafal huruf Alif sampai Ya memakan masa sehingga sebulan. Tetapi ia perlu diulang agar mereka terus ingat.

"Umur pula yang saya ajar setakat ini antara lima hingga 14 tahun, dan saya sendiri akan hadir ke rumah pelajar itu untuk mengajar mereka secara peribadi," ujarnya yang turut mengajar bahasa Arab dan solat pada masa sama.

Niat ingin membantu, Norman juga akui, yang usahanya itu bukan mahu mengejar keuntungan semata, tetapi ia lebih kepada niat mahu membantu keluarga yang kurang berkemampuan.

"Saya faham, ada sesetengah ibu bapa yang mampu, mereka boleh menghantar anak mereka belajar semua ini di pusat-pusat lebih bertauliah dengan harga yang agak tinggi.

"Namun, ada ibu bapa yang kurang berkemampuan, ingin turut memberikan anak mereka pandai mengaji dan membaca al-Quran. Justeru, saya hadir untuk membantu mereka ini.

"Bagaimanapun, sehingga kini, saya hanya mampu menerima tugas mengajar di sekitar Kajang dan Cheras sahaja. Jika ada permintaan luar kawasan saya terpaksa tolak kerana keterbatasan untuk ke sana," katanya.

Oleh itu, bagi mereka yang punyai ilmu agama dan suka mendekati kanak-kanak, tetapi masih mencari pekerjaan sesuai, boleh jadikan usaha ini sebagai salah satu sumber pendapatan mereka.